OAKLAND: Pelakon Angus Cloud yang terkenal melalui drama HBO "Euphoria" dilapor meninggal dunia di kediaman keluarganya di Oakland, California, pada Isnin.

Berita sedih itu diumum keluarga mendiang dalam satu kenyataan kepada CNN.

Mendiang berusia 25 tahun.

“Dengan berat hati kami mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang luar biasa hari ini.

"Sebagai seorang artis, kawan, abang, dan anak lelaki, Angus cukup istimewa kepada kami dalam semua perkara.

“Minggu lalu mendiang telah mengebumikan bapanya dan dia sukar menerima kehilangan itu," tulis kenyataan itu.

Cloud pernah membuat hantaran istimewa di Instagram sebagai memperingati mendiang bapanya dua minggu lalu.

Keluarga mendiang dalam pada itu memohon agar tidak diganggu di saat sukar ini ketika mereka meratapi pemergian insan tersayang.

Pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba Oakland bergegas ke lokasi selepas menerima laporan kecemasan perubatan sekitar jam 11.30 pagi.

Namun difahamkan Cloud ditemukan sudah tidak bernyawa.

Punca kematian Cloud belum dapat dipastikan setakat ini.

Cloud mula dikenali ramai selepas memegang watak pengedar dadah Fezco "Fez" O'Neill dalam drama remaja "Euphoria". 

Sebelum dikenali ramai, Cloud pernah memegang watak kecil dalam dua filem "North Hollywood" dan "The Line".

Mendiang juga pernah muncul dalam video muzik untuk beberapa artis antaranya Becky G, Karol G dan Juice WRLD.


Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929