Ringkasan AI
- Malaysia menggesa ASEAN dan India memperkukuh kerjasama membanteras penipuan serta scam rentas sempadan melalui perkongsian risikan, pembangunan kapasiti dan penyelarasan kawal selia.
- Malaysia menekankan kepentingan keselamatan siber, daya tahan ekonomi, pengurusan bencana dan mempercepatkan semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA).
- Malaysia mengulangi gesaan gencatan senjata segera di Gaza dan menghargai sokongan India terhadap penyelesaian dua negara selaras undang-undang antarabangsa.
MANILA: Malaysia menggesa ASEAN dan India memperkukuh kerjasama dalam membanteras penipuan serta sindiket scam rentas sempadan, khususnya menerusi perkongsian risikan, pembangunan kapasiti dan penyelarasan kawal selia yang lebih erat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama keselamatan siber penting bagi mewujudkan ekosistem digital serantau yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai.
“Malaysia menekankan kepentingan menjadikan keselamatan siber serta usaha membanteras penipuan dan scam rentas sempadan sebagai fokus kerjasama ASEAN-India.
“Perkongsian risikan yang lebih erat, pembangunan kapasiti dan penyelarasan kawal selia akan membantu mewujudkan ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan dan dipercayai,” katanya.
Kenyataan negara Malaysia itu dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi pihak Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-23 di sini, Selasa.
Anwar berkata, kesalinghubungan digital adalah antara empat keutamaan utama yang dikenal pasti Malaysia bagi memajukan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-India 2026-2030.
Beliau berkata, Malaysia turut menyokong kerjasama berterusan dalam latihan tentera laut, tindak balas bencana, ekonomi biru dan keselamatan maritim bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keselamatan serantau.
Dalam aspek daya tahan ekonomi, Anwar menggesa supaya semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dimuktamadkan lebih awal dan secara substantif.
“Malaysia menggesa supaya semakan AITIGA dimuktamadkan lebih awal dan secara substantif bagi meningkatkan akses pasaran, memudahkan perdagangan serta memperkukuh rantaian bekalan serantau antara ASEAN dan India,” katanya.
Mengenai pengurusan bencana, beliau berkata kerjasama lebih erat diperlukan dalam sistem amaran awal, pemodelan iklim dan pemantauan bencana.
Anwar turut menggalakkan pelaksanaan aktiviti bersama antara Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan India dengan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre) untuk memperkukuh daya tahan rantau ini terhadap bencana.
Beliau berkata, ASEAN dan India mempunyai hubungan sejarah, budaya serta ekonomi yang kukuh, manakala perkongsian strategik komprehensif kedua-dua pihak membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dan kemakmuran bersama.
“Kekuatan hubungan ASEAN-India bukan sahaja terletak pada kerjasama yang semakin berkembang, tetapi juga komitmen bersama terhadap dialog, saling memahami dan hidup bersama secara aman,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan memperkukuh multilateralisme serta menjunjung Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa bagi mengekalkan ketenteraman antarabangsa yang aman dan stabil.
Mengenai Palestin, beliau mengulangi gesaan Malaysia supaya gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan di Gaza.
“Malaysia menghargai sokongan India terhadap penyelesaian dua negara dan menggalakkan kerjasama berterusan ke arah mencapai keamanan berkekalan selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.