Skip to main content

Dunia

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 ditutup, Filipina serah kepengerusian kepada Singapura

Ferdinand R. Marcos Jr menyerahkan tukul kuasa kepada Lawrence Wong sebagai simbol peralihan kepengerusian itu. - Gambar Astro AWANI
Ferdinand R. Marcos Jr menyerahkan tukul kuasa kepada Lawrence Wong sebagai simbol peralihan kepengerusian itu. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

MANILA: Filipina secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Singapura, sekali gus menandakan berakhirnya tempoh setahun negara itu mengetuai blok serantau berkenaan menerusi tema Navigating Our Future, Together.

Majlis penyerahan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), di sini, selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-sidang Berkaitan yang dihadiri pemimpin negara anggota serta rakan dialog utama.

Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr menyerahkan tukul kuasa kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sebagai simbol peralihan kepengerusian itu.

Advertisement

Singapura akan memulakan tugas sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2027 dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi, tenaga dan digital menerusi tema Deeper Integration, Wider Partnerships.

Lawrence berkata, usaha memperdalam integrasi serantau dan memperluas kerjasama dengan rakan dialog menjadi teras kepengerusian Singapura, ketika rantau ini berdepan perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global.

Advertisement

Beliau berkata, ASEAN perlu memanfaatkan potensi sepenuhnya menerusi pengukuhan hubungan dalam sektor kewangan, teknologi digital dan tenaga, selain mengambil langkah ke arah pembentukan pasaran tunggal yang membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih lancar merentasi sempadan.

“Kita perlu mengambil langkah seterusnya ke arah pasaran tunggal ASEAN, supaya perniagaan dapat ditubuhkan dan beroperasi dengan lebih lancar serta menikmati lebih banyak peluang untuk bekerja, melabur dan berkembang,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua pendekatan itu saling melengkapi kerana ASEAN yang lebih bersepadu akan menjadi rakan lebih bernilai kepada dunia, manakala jaringan kerjasama lebih luas mampu membuka peluang serta membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau berkata, perubahan landskap global ketika ini menuntut ASEAN memperkukuh kesepaduan, khususnya ketika persaingan kuasa besar semakin sengit, susunan ekonomi dunia semakin berpecah serta konflik di luar rantau memberi kesan kepada bekalan tenaga, makanan dan kehidupan rakyat.

“Kita tidak dapat mengawal semua perkembangan luaran ini, namun kita boleh menentukan bagaimana ASEAN bertindak balas. Kita boleh memilih untuk terus bersatu, memperdalam kerjasama dan memperkukuh keupayaan membentuk masa depan sendiri,” katanya.

Lawrence turut menegaskan ASEAN perlu merebut peluang baharu, termasuk memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) serta mempercepat peralihan rantau ini kepada tenaga lebih bersih.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Filipina atas kejayaan mempengerusikan ASEAN tahun ini, termasuk kemajuan dalam pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang dinaik taraf serta Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.

Beliau turut menyifatkan kemajuan integrasi penuh Timor-Leste dalam ASEAN sebagai pencapaian penting dan menyatakan harapan agar negara itu dapat berkongsi tanggungjawab kepengerusian ASEAN pada 2029.

Lawrence berkata, Singapura komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota dan rakan dialog bagi membina ASEAN yang bersatu dalam matlamat, yakin terhadap masa depannya serta terbuka kepada dunia.

Must Watch Video

Advertisement