KUANTAN: Polis sedang menunggu laporan prestasi seorang guru, yang disyaki melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia tujuh tahun di Jerantut, daripada Pejabat Pendidikan Daerah bagi melengkapkan siasatan kes.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata guru lelaki berusia 24 tahun itu kini ditempatkan di PPD dan tidak lagi menjalankan tugas mengajar di sekolah berkenaan, selain siasatan masih diteruskan.
"Kita menjangkakan laporan daripada PPD dapat diperoleh dalam minggu ini atau minggu depan bagi membolehkan siasatan dilengkapkan.
"Setakat ini, polis hanya menerima satu laporan berhubung kes berkenaan dan tiada mangsa lain dikenal pasti," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Pada 3 Nov lepas, media melaporkan suspek yang ditahan pada 30 Okt lepas direman selama enam hari sehingga 4 Nov.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Nor Azman Yusof dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku berulang kali di kawasan bilik makmal komputer di sekolah terbabit dan terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ahli keluarganya pada 27 Okt.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sementara itu, Azry Akmar berkata seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Bentong pada 11 Nov lepas kerana merosakkan struktur patung sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, Bentong.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dalam keadaan khayal selepas menghidu gam.
“Suspek didakwa mengikut Seksyen 295 dan 297 Kanun Keseksaan selain kes tersebut kini dalam proses perbicaraan,” katanya.
-- BERNAMA