HIBURAN
Pelakon 'Reply 1988' Song Young-kyu ditemui meninggal dunia dalam kereta

Song Young-kyu, 55, ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan perumahan di Yongin, Wilayah Gyeonggi, awal pagi Ahad. -Gambar fail/Facebook Song Young Kyu
SEOUL: Pelakon veteran Korea Selatan, Song Young-kyu, 55, ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan perumahan di Yongin, Wilayah Gyeonggi, awal pagi Ahad.
Ringkasan AI
- Pelakon veteran Song Young-kyu ditemui meninggal dunia dalam kenderaan di Yongin, Korea Selatan, dan siasatan sedang dijalankan tanpa unsur jenayah dikenal pasti setakat ini.
- Kematian beliau berlaku selepas kontroversi memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan pembatalan lesen dan penyingkiran daripada beberapa projek seni.
- Song dilaporkan mengalami tekanan emosi akibat kecaman media dan komen negatif, meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Kematian Song berlaku hanya seminggu selepas beliau terpalit dengan kontroversi memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) pada 19 Jun lalu.
Insiden itu menyebabkan lesen memandunya dibatalkan selepas beliau didapati mempunyai kandungan alkohol melebihi 0.08 peratus dalam darah.
Akibat insiden tersebut, Song telah digugurkan daripada beberapa projek seni termasuk pementasan teater "Shakespeare In Love" serta dua drama bersiri yang sedang dalam penggambaran — "The Defects" dan "The Winning Try".
Produksi "The Defects" memaklumkan bahawa suntingan akan dilakukan secara minimum bagi mengekalkan kesinambungan jalan cerita.
Song memulakan kerjaya lakonan pada tahun 1994 menerusi muzikal kanak-kanak "Wizard Mureul", dan sejak itu telah membintangi lebih 40 drama televisyen serta beberapa filem terkenal.
Mendiang dikenali ramai menerusi peranan dalam filem pecah panggung "Extreme Job" (2019), serta siri antarabangsa seperti "Narco-Saints" dan "Big Bet".
Antara lakonan yang paling diingati ialah penampilannya dalam drama ikonik Reply 1988 (2015–2016), di mana Song memegang watak sebagai pegawai polis yang tegas namun penyayang.
Sumber terdekat memaklumkan Song mengalami tekanan emosi susulan kecaman media dan komen negatif yang diterima selepas insiden DUI tersebut.
“Beliau sangat tertekan dengan artikel-artikel berniat jahat dan suasana ketika itu amat tidak menyebelahi dirinya,” kata sumber itu kepada Koreaboo.
Song meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.
Pihak polis dijangka akan menemu bual ahli keluarga bagi membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami