Buat pertama kalinya Astro first Eksklusif bakal menayangkan versi asal penamat cerita filem Cinta Paling Agung lakonan Aaron Aziz dan Siti Saleha.

Versi alternatif ini menampilkan pengakhiran (jalan penceritaan) yang berbeza berbanding versi sebelumnya yang mula disiarkan sejak 17 Ogos 2015 yang lalu.

Untuk versi yang ditayangkan sebelum ini, penonton dapat melihat sendiri berlakunya masalah rumah tangga antara Myza (Siti Saleha) dan Khairi (Aaron Aziz).

Malah hubungan mereka juga agak dingin, tidak bahagia serta tidak mesra seperti mana sewaktu mereka mula-mula berkahwin dahulu.

Namun Myza tidak mengalah dan tetap berusaha untuk mendapatkan kembali suaminya walaupun dia tahu bahawa Khairi sedang dilamun cinta dengan Dewi (Zaskia).

Dugaan demi dugaan melanda, akhirnya Dewi mengambil keputusan untuk berundur kerana hubungan mereka tidak direstui oleh keluarganya.

Akhirnya di penamat cerita, semuanya kembali baik seperti sediakala dan semuanya memperoleh kebahagian serta 'Happy Ending' mereka semula.

Namun dalam versi suntingan pengarah, lain pula yang akan berlaku kerana ia diakhiri dengan sebuah pengorbanan yang besar.

Penonton akan merasai bertapa sedih dan sakitnya apabila ditinggalkan oleh orang yang tersayang sama ada dalam bentuk kehilangan atau kematian.

Jadi jika ingin tahu bagaimanakah pengakhiran kisah Cinta Paling Agung antara Myza dan Khairi, saksikan penamat baru Cinta Paling Agung yang mula ditayangkan pada 27 Ogos di Astro First (saluran 480).