Maka bangunan warisan yang dikorbankan – digantikan dengan bangunan yang baru lagi gah, dapat memberi gambaran yang baru tentang keadaan kota di negara kita. Mungkin sahaja pihak yang bertanggungjawab merasakan bahawa naratif mampu diberikan nafas yang baru, mungkin sahaja mereka sudah tidak peduli dengan kondisi kota yang sedia ada, tanpa menyediakan alternatif yang lebih bagus.
Tiada sesiapa diantara kita yang dapat menafikan bahawa dikala berlakunya proses modenisasi yang semakin pesat, pertembungan diantara dua pihak, yang ingin menjaga warisan dan pihak berkuasa yang ingin mengubahnya penuh dengan bangunan cium langit. Kedua-duanya bertempur di atas medan subjektiviti, suatu definisi tentang modenisasi yang tidak langsung diperdebatkan secara rasional. Begitu banyak bangunan warisan dihancurkan atas nama pembangunan, Merdeka Park, Sungai Buloh Leprosy Settlement dan Bangunan Penjara Pudu adalah salah satu contoh mangsa pembangunan.
Jadi dengan berlakunya konflik sebegini, apakah reaksi yang dapat dihasilkan oleh para penggiat seni? Apakah yang boleh dilakukan oleh ahli muzik, pelukis, penulis dan lain-lain? Apakah jalan alternatif ataupun harapan yang dapat dihasilkan? Adakah seni yang harus wujud itu mengutamakan penyebaran kesedaran terhadap penduduk sekeliling, penduduk yang dibelenggu oleh masalah-masalah yang disebabkan oleh agenda modenisasi di kota kita?
Disinilah titik permulaan Gan Sze Hooi, yang merasakan bahawa perlunya seni membawa peranan sebagai ajen penyebaran tentang kesedaran dan bencana yang bakal berlaku terhadap kesinambungan naratif yang sedia ada. Beliau membesar di kawasan Petaling Street dan Jalan Sultan, kawasan yang diancam dan bakal dihancurkan, demi membina lorong MRT, jalan yang menghubungkan ke Merdeka Tower ini, berselindung di balik ‘modenisasi’.
Tajuk ‘The Revelation of Jalan Sultan’ diadakan sebagai acara dedikasi terhadap gerakan-gerakan yang berusaha keras untuk menjaga naratif warisan yang ada. Melalui penggunaan medium seni, beliau merasakan bahawa proses untuk menyiapkan lukisan-lukisan ini juga merupakan proses mengenal diri dan secara peribadi usaha untuk mengetahui butiran-butiran yang ada dikawasan tersebut, menguatkan lagi persepsi beliau tentang perlunya usaha untuk menjaga warisan yang ada.
‘Revelation’ diterjemahkan sebagai wahyu ataupun pendedahan. Kata-kata ini diberikan atas sebab bahawa lukisan-lukisan ini turut membawa peranan sebagai pemberi amaran terhadap bencana yang bakal berlaku jikalau warisan yang wujud selama 100 tahun ini, dihancurkan dan dilupakan atas nama pembangunan dan modenisasi yang tidak pernah dibincangkan secara meluas.
Lukisan yang bertajuk ‘City of Corpses’ ini memberi fokus kepada bangunan Merdeka Tower, dan dengan penggunaan magnet, Gan Sze Hooi berjaya melakukan pengamatan secara dua hala, dimana para hadirin boleh menukar posisi bangunan itu dan pada masa yang sama, beberapa fragmen daripada bangunan itu, jikalau diterbalikkan, adalah bangunan-bangunan yang bakal dihancurkan untuk membina lorong MRT bawah tanah, jalan ke Merdeka Tower tersebut. Dengan pengunaan warna kuning bumi yang memancarkan tona kelam dan latar belakang awan yang seakan-akan kiamat bakal berlaku, menguatkan lagi ‘wahyu’ ataupun ‘revelation’ yang ingin ditunjukkan oleh beliau.
Terdapat satu karakter anak kecil di dalam beberapa lukisan beliau, dan ianya diinspirasikan oleh anaknya yang bernama Chloe. Sebagai contoh, siri House of Castaway disertakan gambar anak kecil. Anak kecil itu adalah perlambangan generasi muda yang bakal menerajui dan mewarisi bangunan-bangunan yang ada.
Pertembungan anak kecil itu dengan beberapa aktiviti yang berlaku di kala ini, seperti kehancuran bangunan-bangunan warisan dan pergerakkan seni yang membantah pembangunan yang ada, sekali gus bakal membentuk fikirannya sewaktu masa hadapan. Dilukisnya anak kecil ini bermain dengan traktor, mengangkat bangunan-bangunan lama, seperti menunjukkan bahawa anak kecil adalah generasi yang berkuasa, dan bakal mengubah dunia pada waktu akan datang.
Lukisan yang bertajuk 'Hotel Lok Ann'. Ia adalah salah satu bangunan yang tidak bersetuju dengan pembinaan MRT dibawah. Foto: dailyseni.com
Lukisan yang bertajuk ‘Hotel Lok Ann’ pula berjaya menarik perhatian orang ramai, kerana lukisan yang dihasilkan adalah seakan buku ataupun tingkap, dan bangunan tersebut adalah salah satu bangunan yang tidak bersetuju dengan pembinaan MRT dibawah. Lukisan yang memaparkan sejarah ataupun naratif bangunan tersebut dilukis dengan jelas – dari masa yang lepas, sekarang dan perkara yang berlaku pada masa yang akan datang.Tetapi yang tidak jelas di sini, adalah karakter yang mewakili pekerja pembangunan, kepalanya ditukar menjadi kamera CCTV, adakah ianya mewakili pihak berkuasa yang akan memantau apa-apa aktiviti dari pihak yang membantah, adakah pihak yang membantah dan tidak setuju dengan pembangunan ini, bakal dilihat sebagai gerakan yang subversif. Disini mungkin wujudnya suatu niat politikal yang tidak dijelaskan oleh beliau, sama ada dari pihak beliau ataupun dari pihak penguasa.
Siri lukisan yang bertajuk Isolated Island pula menggambarkan kerapuhan material yang hancur dimamah zaman, bangunan-bangunan yang dilukis seakan ringan dan disusun secara vertikal dengan keadaan yang tidak benar-benar stabil, dikelilingi oleh kereta-kereta lama. Mungkin sahaja ia memberi gambaran bahawa sesuatu ciptaan manusia tetap tidak mempunyai nilai yang penting jika isinya ataupun isi sejarah yang benar-benar kukuh.
Yang terakhir, karya pemasangan yang bertajuk ‘The Moving Vertical’ pula merupakan replika rangka bangunan Merdeka Tower yang disertai 118 lapisan, bersamaan dengan 118 tingkat bangunan itu. Kewujudan bangunan ini bakal membuka lembah naratif yang baru, secara negatif dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar terasing daripada konteks yang sedia ada.
Pada setiap lapisan, terdapat tanda-tanda seperti ‘Luxury’, ‘Freehold’ dan ‘Sale/Rent’, memberikan pernyataan bahawa harga dan fungsi ruang yang ada, terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat dan komuniti yang membesar di sekeliling kawasan tersebut.
Pameran seni ‘Revelation of Jalan Sultan’ bakal dibuka kepada para pengunjung sehingga 14 Disember 2014 dan artis Gan Sze Hooi bakal mengadakan dialog pada hari tersebut. Pameran seni ini diadakan di Lostgens Space, yang terletak di Jalan Panggung.