KUALA LUMPUR: Pengarah filem prolifik, Chiu Keng Guan melebarkan sayapnya ke persada antarabangsa apabila mengarahkan sebuah filem bertajuk On Your Mark di China.

Filem genre drama yang mengangkat semangat kesukanan dan kasih sayang bapa bersama anak ini akan mula ditayangkan di China bermula 18 Jun ini.

Tayangan filem itu di negara tersebut menggunakan tajuk On Your Mark terjemahan dari judul asal iaitu “Qi Pao”, manakala untuk pasaran antarabangsa pula naskhah berkenaan akan dipasarkan sebagai  “The Great Dad”.

Selain menerima liputan baik daripada media China, penonton di negara itu juga turut berkongsi reaksi sangat positif selepas trailer filem tersebut dilancarkan.

“Sebagai pengkarya filem dari Malaysia, saya sangat teruja apabila berpeluang dan diberi kepercayaan untuk mempersembahkan hasil karya sentuhan saya kepada penggemar dan penonton filem di China.

"Saya harap filem ini mampu menyentuh perasaan penonton di samping mengangkat nama Malaysia di persada dunia menerusi perfileman," kata Chiu.

Filem tersebut terbitan Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film, Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum) dan Astro Shaw selaku penerbit tunggal dari Malaysia.

"Astro Shaw telah bersama-sama Chiu Keng Guan sejak filem arahan pertamanya lagi pada tahun 2010; dan apabila Astro Shaw terlibat sekali lagi sebagai salah satu penerbit untuk filem On Your Mark, tentunya kami rasa berbesar hati kerana bakat anak seni tempatan mendapat perhatian antarabangsa.

"Kami berharap, pencapaian Chiu Keng Guan dapat menjadi pembakar semangat buat pengkarya di luar sana dan membuktikan industri filem tempatan juga mampu mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa," kata Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.

On Your Mark membariskan pelakon hebat dari negara China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhangt, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.

Filem itu mengisahkan seorang anak muda, Xiao Erdong yang bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Bagaimanapun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya

Sebelum ini, antara hasil karya Chiu yang berjaya mendapat tempat ialah Ola Bola dan The Journey.

Kedua-duanya bukan sahaja mendapat kutipan pecah panggung tetapi juga menerima pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.