Upacara memberi penghormatan terakhir dan menzahirkan rasa simpati kepada mangsa tragedi kebakaran dahsyat di Grenfell Tower, North Kensington, di sini turut mendapat perhatian selebriti.

Penyanyi popular Adele adalah antara ribuan yang menghadiri perhimpunan solidariti pada Rabu malam berdekatan tapak menara tersebut yang musnah dijilat api, lapor Reuters.

Kehadirannya itu turut ditularkan menerusi media sosial.

Dalam insiden malang pada tengah malam itu, 17 orang disahkan meninggal dunia dalam kebakaran yang memusnahkan bangunan pangsapuri 27 tingkat itu.

BACA : Menara 27 tingkat di London terbakar

BACA : Jamie Oliver tawar makanan percuma kepada mangsa kebakaran Grenfell Tower

Bintang pop kelahiran London itu dikenal pasti seorang pengguna Instagram, FourMee, yang menyiarkan tiga gambar kabur.

FourMee berkata, suami Adele, Simon Konecki, ada bersama-sama dengan beliau.



“Baru saja terserempak dengan Adele dan Simon Konecki yang melawat Grenfell Tower. Adele memakai abaya. Hormat kepada kamu berdua,” tulis FourMee.

Adele yang memiliki album paling laris di dunia, tidak mengumumkan tentang kehadirannya itu atau membuat apa-apa kenyataan umum. Akaun Twitternya juga tidak mencatatkan sebarang petunjuk mengenai kedatangannya.

Peminat Adele memuji sifat belas kasihan dan bertimbang rasa beliau di laman media sosial.