KUALA LUMPUR:Perisian tidak sah bukanlah satu isu baharu di Malaysia.

Sejak dahulu lagi, jenayah mencuri hak cipta ini sudah berleluasa di dalam negara bahkan semakin berevolusi dengan kemudahan teknologi canggih kini.

Kerja haram ini sudah tentu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka yang berada dalam industri seni tanah air.

Penat lelah mereka seolah-olah tidak berbayar apabila ada pihak sanggup menjadi dalang menyebarkan kandungan-kandungan asli untuk ditonton secara haram.

Bagi pendatang baru Industri, Shaza Bae, perisian tidak sah yang disebarkan oleh 'lanun' ini sedikit sebanyak akan menjejaskan periuk nasi pengiat seni tanah air.

"Apabila ada kegiatan seperti ini, penonton sudah tentu tidak akan melanggan kerana mereka boleh dapat dengan mudah dan percuma.

"Dan sudah pasti ia akan menjejaskan periuk nasi saya dan juga mereka yang berada dalam industri ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA : Perisian tidak sah: Seniman dan PFM cadang hukuman lebih berat

BACA : 'Kalau kerajaan tidak bersungguh, sampai kiamat pun cetak rompak tak selesai ...' - Yusof Haslam


Pelokon drama Marry Me Senorita arahan Michael Ang itu juga turut menyatakan bahawa apabila berlaku kes seperti ini, syarikat penyiaran harus lebih peka dan membuat perancangan bagi memastikan kandungan-kandungan tersebut selamat dan sukar untuk disebarkan secara haram.

"Bagi saya, syarikat penyiaran harus ada rancangan yang lebih kukuh untuk menangani perkara tersebut agar perkara ini tidak terjadi dan pihak kerajaan juga harus mengambil tindakan yang lebih tegas keatas mereka yang melakukan jenayah ini," tambah Juara Dewi Remaja 2020 itu.

Semalam, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.