Letupan di Universiti HELP: Raja Puan Muda Kedah lawat mangsa di HKL

Che Puan Muda Zaheeda yang juga Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), aktif dalam pelbagai inisiatif berkaitan kesedaran serta sokongan kesihatan mental. - Gambar fail/ Facebook Kedah Royal Family
KUALA LUMPUR : Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan melawat mangsa kejadian letupan di Universiti HELP, Reeya Kaur Thandal, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Jumaat.
Baginda tiba di Pusat Neurologi Tunku Abdul Rahman, HKL pada jam 10.46 pagi bagi menziarahi mangsa.
Reeya, 19, mengalami kecederaan pada tengkorak dan pendarahan di otak selepas sebuah pemampat pendingin hawa meletup ketika kerja-kerja penyelenggaraan di universiti berkenaan di Bukit Damansara, pada pagi Isnin lalu.
Che Puan Muda Zaheeda yang juga Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), aktif dalam pelbagai inisiatif berkaitan kesedaran serta sokongan kesihatan mental.
Dalam lawatan itu, baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan mangsa serta memberi sokongan moral kepada keluarga terlibat.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan HKL atas komitmen dan usaha berterusan dalam memberikan rawatan terbaik kepada mangsa.
Dalam kejadian pagi Isnin lalu, seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain cedera akibat insiden berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


