AGC tarik balik semakan kehakiman Akta Perhimpunan Aman

AGC menarik balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 adalah tidak berperlembagaan. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 adalah tidak berperlembagaan.
Ringkasan AI
- Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak berperlembagaan.
- Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 9(5) PAA yang mengenakan denda sehingga RM10,000 ke atas penganjur yang gagal memberi notis kepada polis lima hari sebelum perhimpunan, disebabkan melanggar hak berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan Persekutuan.
- Keputusan ini berikutan cabaran perlembagaan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi berhubung hukuman di bawah Seksyen 9(5) PAA, yang dibebaskan selepas dituntut kerana gagal memberi notis sebelum perhimpunan berkaitan isu perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Pada Julai tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kini bersara), sebulat suara membatalkan Seksyen 9(5) PAA, yang memperuntukkan denda hingga RM10,000 ke atas penganjur yang gagal memberikan notis kepada polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun memutuskan, antara lain, bahawa Seksyen 9(5) melanggar hak untuk berhimpun secara aman yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini dibuat susulan cabaran perlembagaan terhadap hukuman di bawah Seksyen 9(5) PAA oleh bekas Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, yang didakwa pada tahun 2022 kerana gagal memaklumkan kepada polis daerah Dang Wangi lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berkaitan isu perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Amir Hariri mengaku tidak bersalah pada 2022 dan kemudian dibebaskan pada tahun lepas susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Sementara itu, seorang daripada peguam Amir Hariri ketika dihubungi Bernama mengesahkan AGC telah menarik balik permohonan semakan berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


