Pelbagai persembahan telah diadakan di malam konsert Enjoy Jakarta yang berlangsung di Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana malam tadi.

Konsert percuma yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-486 bandaraya Jakarta itu menampilkan gabungan artis terbaik dari Indonesia dan Malaysia.

Ia dihoskan oleh Hedi Yunus dan Sarah Sechan selaku pengacara konsert tersebut.

Acara dimulakan dengan tarian khas dari suku Betawi yang mempersonakan penonton dengan lenggokkan serta hayunan tangan.

INi disusuli pula dengan persembahan dari penyanyi terkenal Indonesia, Rossa.

Kemunculan beliau disambut dengan sorakan gemuruh para penonton.

Rossa mempersembahkan lima lagu, dengan lagu terakhir dinyanyikan secara duet bersama Heidi Yunus.

Selain Rossa, acara disaji juga dengan persembahan hebat penyanyi rock lagenda tanahair, Amy Search.

Penonton dihiburkan dengan lagu yang pernah popular di Malaysia dan Indonesia suatu ketika dulu, iaitu Isabella, yang turut dinyanyikan oleh penonton.

Bagi persembahan terakhir pula, penonton telah dihiburkan oleh kumpulan Indonesia, Ungu.

Ungu membawa lagu-lagu popular mereka termasuk ‘Kekasih Gelap’, ‘Andai Ku Tahu’ serta ‘Tercipta Untukku’.

Selain dari persembahan oleh artis-artis ternama berikut, konsert tersebut turut mempersembahkan tarian tradisional dari Indonesia, seperti Tarian Rampak Nusantara, Tarian Melayu Darussalam dan Tarian Topeng Betawai.

Tujuan konsert ini diadakan adalah bagi mempromosikan bandaraya Jakarta sebagai pelancongan utama serantau dan destinasi pelaburan serta mempamerkan pelbagai budaya kontemporari dan tradisional.

Ia diadakan dengan kerjasama dengan Kumpulan KRA dari Jakarta serta mendapat pengiktirafan dari Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang turut serta membuat penampilan istimewa dalam konsert.

Klik video untuk lihat petikan Konsert Enjoy Jakarta.