Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh menafikan tiada persefahaman antara ahli kumpulan punca utama dia muncul dengan kumpulan baru, Da Vagabonds.

Jelas penyanyi kelahiran negeri Sarawak ini, penubuhan kumpulan Da Vagabonds selepas melihat ahli kumpulan yang lain iaitu Heri Hamid (gitar utama), Alea Sutan (bass) dan Irfan Iskandar (dram) mempunyai haluan dan citarasa muzik yang sama.

“Hujan masih tetap berjalan seperti biasa. Sudah hampir 10 tahun kami bersama, jadi tidak mungkin kami akan berpecah. Tidak dinafikan pertelingkahan pasti ada tapi saya sudah anggap Dimas, AG Coco dan Am sudah seperti adik beradik sendiri,

“Mereka semua sudah sebati dengan hidup saya. Jadi tak mungkin Hujan akan berpecah begitu sahaja kerana kami semua bermula dari bawah sehingga kini apa yang anda dapat lihat.

“Da Vagabonds ditubuhkan atas dasar haluan muzik kami ahli kumpulan yang mempunyai citarasa muzik yang sama. Saya turut mengeksprestasikan muzik dengan Da Vagabonds sama seperti semasa awal-awal penubuhan Hujan,” ujar Noh kepada Astro Gempak.

Noh ditemui ketika pelancaran runut bunyi ‘Serahkan Segalanya’ bersama Da Vagabonds untuk filem CEO yang dibintangi oleh Beto Kusyairi, Remy Ishak dan Cristina Suzanne dan akan mula ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula 12 Jun Depan.

Dalam pada itu, Noh menjelaskan dia bakal tampil dengan album solonya pada bulan Jun depan.

“Insya Allah bulan Jun depan saya akan tampil dengan album solo yang akan memuatkan lima buah lagu. Saya rasa sudah tiba masa saya keluar dengan album solo sebab sebelum ini saya belum yakin lagi untuk terbitkan album solo.

“Antara lagu yang akan terdapat album solo ini nanti ialah lagu Angin Kencang yang saya cipta khas buat isteri iaitu Mizz Nina sewaktu kami berjauhan,” jelas Noh. - Astro Gempak