LOS ANGELES: Punca kematian pelakon Britain Julian Sands, yang hilang ketika mendaki gunung di California pada Januari, diputuskan secara rasmi sebagai "tidak dapat dipastikan".

Sands, yang dikenali membawa watak hero romantik dalam drama popular era 80-an "A Room with a View" hilang selepas dilapor mendaki pada ketinggian 3,000 meter di Gunung Baldy.

Beliau dilaporkan hilang pada petang 13 Januari, selepas pergi mendaki sendirian pada awal pagi di kawasan Baldy Bowl di Pergunungan San Gabriel, kira-kira 80 kilometer timur laut Los Angeles.

Beberapa usaha pencarian tidak berhasil, malah pasukan mencari dan menyelamat telah dibawa keluar 24 jam berikutan risiko salji dan keadaan laluan yang buruk.

Penantian berakhir selepas mayatnya ditemui oleh pendaki berusia 65 tahun.

Jurucakap jabatan sherif-koroner Daerah San Bernardino memaklumkan punca kematian tidak dapat dipastikan dan tiada faktor lain ditemui dalam siasatan koroner.

"Ini adalah perkara biasa apabila berurusan dengan kes seperti ini. Ini adalah penentuan muktamad,” katanya.

Keluarga Sands mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pasukan pencari atas usaha mereka dan menerima takdir yang menimpa mendiang.

"Julian akan sentiasa berada dalam ingatan kami ... mengingati beliau sebagai bapa, suami, pengembara, pencinta dunia alam semula jadi, dan penghibur yang hebat," tulis kenyataan itu.