KUALA LUMPUR: Mesej ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh membanjiri media sosial hari ini selepas pelakon kelahiran Malaysia itu memenangi Anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem drama komedi Everything Everywhere All at Once pada majlis berprestij Anugerah Akademi ke-95.

Semua lapisan masyarakat menitipkan ucapan dan kata-kata pujian kepada pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu yang menjadi wanita Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi yang diadakan di Dolby Theatre di Ovation Hollywood, Los Angeles pada Ahad.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang menyertai ibu Yeoh, Datin Janet Yeoh menonton majlis anugerah itu secara langsung, turut mengucapkan tahniah kepada pelakon itu kerana memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kasih ibu tiada batasnya. Saya menyaksikan momen Janet Yeoh mendengar anaknya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Akademi bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak utamanya, pagi ini.

"Detik yang sangat menyentuh hati," katanya dalam Facebook beliau.


Ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei berkata Yeoh mencipta sejarah dalam dunia hiburan apabila merangkul anugerah berprestij itu.

"Tahniah! Beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertama dicalonkan dan menang dalam Anugerah Akademi. #proudmalaysian ," katanya dalam Facebook.


Bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pula berkata dengan kerjaya lakonan yang menjangkau empat dekad, Yeoh menjadi ikon yang memberi inspirasi dengan ketabahan dan keazamannya.

"Terima kasih kerana memecahkan halangan dan membanggakan kami rakyat Malaysia Tan Sri," katanya.


Turut mengucapkan tahniah ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, pelakon dan model Amber Chia, Nasha Aziz dan Sangeeta Krishnasamy serta pelakon Henley Hii.

Antara netizen yang meluahkan reaksi mereka dalam media sosial ialah @PaanAriff dengan ciapan Twitter "Sangat bangga bahawa beliau mencipta nama di luar Malaysia, anda memang layak," dan @jonathan yang berkata "TSMY tahniah kerana terus melakar Malaysia di peta".


@Stephenson Decruz menulis "Anda berjaya, satu kebanggaan buat kami juga rakyat Malaysia. Impian kami untuk melihat anda bersinar di Hollywood menjadi kenyataan. Malaysia Boleh".

Dalam pada itu, ucapan Yeoh pada majlis itu turut menarik perhatian rakyat Malaysia.

"Saya mendedikasikan anugerah ini kepada beliau (ibu Yeoh). Beliau sedang menonton di Malaysia, KL, dengan keluarga dan rakan saya.

"Saya sayang kamu semua. Saya akan bawa pulang trofi ini ke tanah air untuk anda," katanya.


Sejak membintangi beberapa filem Hong Kong pada 1990-an, Yeoh, bekas ratu cantik itu melalui perjalanan berliku untuk bergelar bintang antarabangsa. Beliau telah berlakon dalam pelbagai filem menerusi pelbagai watak dan dicalonkan serta memenangi banyak anugerah.

Lakonan awalnya dalam filem Inggeris termasuk filem Bond Tomorrow Never Dies (1997) menerima pujian antarabangsa dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) membawanya kepada pencalonan dalam British Academy Film Awards (BAFTA).

Pelakon berusia 60 tahun itu turut membintangi filem romantik komedi Crazy Rich Asian.

-- BERNAMA