Selepas hampir empat bulan kehilangan wanita yang selama ini menjadi tunggak kekuatan peribadinya, Afdlin masih terkenang ibunya itu.
Dan kesedihan serta kedukaan Afdlin juga tambah berganda kerana sepanjang hayat Allahyarham Fadzilah, dia tidak berkesempatan meluangkan masa yang banyak dengan ibunya itu.
Kekesalan itu dikongsi dalam catatan yang mengundang air mata di laman Instagram peribadinya beberapa hari lalu.
“Aku tak boleh nak gambarkan perasaan aku pagi ni, sekali lagi pada pukul 4 pagi aku masih bekerja.
“Tiba-tiba henfon berbunyi, adik aku pos gambar arwah ibu dan kata dia mimpi ibu dan nangis... gambar ibu dgn senyuman yg paling aku rindu... pasal senyuman dia buat aku bahagia.... buat penat aku berbaloi, buat sedihku terubat.
“Aku sebelum tido tiap malam akan terkenang ibu dan rasa kekosongan yg sangat besar dalam jiwa, aku rasa aku tak complete... aku sedih dan aku marah pada diri sendiri kerana tak luangkan lebih masa dgn ibu masa dia masih hidup dulu...” tulisnya.
Luahan kesedihan Afdlin itu turut menarik perhatian netizen dan peminat-peminat setianya yang mendoakan artis popular itu diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Bahkan, dia turut dibekalkan nasihat agar tidak putus mendoakan kesejahteraan Allahyarham ibunya.
Allahyarham Fadzilah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara selepas beberapa kali menjalani pembedahan pintasan jantung.