HIBURAN
Rusuhan: Siti Nurhaliza doakan Indonesia cepat pulih

Siti berharap keadaan kembali reda menjelang festival Pestapora, di mana beliau dijadual membuat persembahan pada 7 September di Jakarta. - Gempak
BIDUANITA NEGARA, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan simpati dan berdoa agar situasi genting yang dialami Indonesia segera beransur pulih.
Ringkasan AI
- Siti Nurhaliza zahirkan simpati terhadap situasi genting di Indonesia, dan menyertai kempen solidariti dengan memberi makanan kepada pekerja e-hailing.
- Beliau berharap keadaan kembali reda menjelang festival Pestapora, di mana beliau dijadual membuat persembahan pada 7 September di Jakarta.
- Demonstrasi tercetus akibat isu kenaikan elaun ahli dewan rakyat, yang mencetuskan kemarahan rakyat dan menyebabkan kematian serta kerosakan harta benda di beberapa daerah.
“Malaysia dan Indonesia serumpun. Macam cubit peha kiri peha kanan pun terasa juga. Jadi apa yang boleh kita bantu, kita bantu dari segi sokongan moral dan kata-kata semangat.
“Macam orang Malaysia buat, berbagi makanan. Saya pun ikut buat. Itu sebagai solidariti,” kata Siti.
Siti ditemui media pada sidang media ketiga Anugerah Industri Muzik (AIM) yang mengumumkan hos, barisan artis yang membuat persembahan dan penyampai anugerah di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Pada masa sama Siti melahirkan rasa teruja untuk pertama kali terlibat dalam festival muzik Pestapora yang dijadual berlangsung di Jakarta pada 5 sehingga 7 September ini.
Beliau berharap agar kekecohan dan aksi protes rakyat Indonesia terhadap pimpinan negara reda dalam waktu terdekat.
“Saya berdoa supaya keadaan kembali reda dalam waktu terdekat ini kerana saya akan terlibat dengan festival Pestapora.
“Setakat ini maklumat daripada pihak penganjur, acara akan berlangsung seperti biasa dan mereka memberi informasi dari semasa ke semasa.
“Saya terlibat pada 7 September iaitu hari ketiga Pestapora dan berharap dapat bertemu SitiZoners di Indonesia serta menghiburkan peminat yang hadir.
“Saya sangat merindui peminat-peminat di sana,” kata Siti.
Sejak 25 Ogos lalu, kumpulan penunjuk perasaan yang terdiri dalam kalangan rakyat, mahasiswa sehingga pekerja e-hailing melakukan demonstari jalanan yang mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda bukan sahaja di Jakarta tetapi di beberapa daerah lain termasuk Bandung.
Demonstrasi tercetus dipercayai kerana rasa tidak puas hati terhadap kenaikan gaji dan elaun rumah ahli Dewan Perwakilan mereka yang dilaporkan mencecah RM15,000 pada saat rakyat terbeban dengan kemiskinan. -- Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami