PENYANYI Aiman Tino mengakui sedih dengan kehilangan adiknya yang ke-11 apabila ibunya, Hazelina Mat Jalil, 41, mengalami keguguran semalam.

Menurut Aiman, dia telah menyimpan hasrat untuk menanggung segala perbelanjaan adiknya itu nanti memandangkan dia kini sudah mempunyai pendapatan sendiri.

“Saya sudah ada pendapatan sendiri dan kalau boleh mahu menjaga adik yang bakal lahir dengan sebaik-baiknya.

“Namun, apa boleh buat Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Sementara itu bapa Aiman, Yusry Iskhak, 48, berkata, Hazelina yang hamil tiga bulan mengalami pendarahan sejak 3 Ogos lalu ketika mengikut Aiman menjayakan persembahan di Melaka.

“Sejak itu Hazelina kurang sihat. Pada 12 Ogos lalu dia ikut saya dan Aiman ke Langkawi untuk penggambaran klip video.

“Sebaik kembali ke ibu kota, saya membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan dia ditahan sehinggalah semalam doktor mengesahkan kandungan tidak dapat diselamatkan.

“Hari ini Hazelina berpuasa kerana pada jam 9 pagi esok rahimnya akan dicuci di sebuah klinik swasta di Tanjung Malim. Doakan segalanya berjalan lancar,” katanya.

Selain Aiman, Yusry dan Hazelina dikurniakan sembilan lagi anak iaitu Nur Fara Ain, 23, Mohd Aidil, 22, Nurfarazira, 21, Nur Isfasha, 15, Mohd. Haikal, 11, Nur Alya Mahsuri, 8, Nur Qaseh Mahsuri, 6, Mohd. Ikhwan, 3 dan Nur Nina Izara, 2.

Sumber: Harian Metro Online