AKTRES berkaliber Nabila Huda mengaku sempat serba salah merancang sambutan Aidiladha yang disambut hari ini.

Hal itu lantaran dia memiliki dua keluarga berasingan yang sama penting dalam hidupnya.

Pertama adalah ibunya, Faridah Fadzil yang merupakan bekas isteri bapanya, Amy Search.

Dan kedua Nabila atau Abil juga mahu menyambut Aidiladha bersama Amy.

Namun dirinya lega selepas berbincang dengan ibunya yang memilih untuk meraikan Aidiladha bersama sahabat-sahabatnya.

“Saya pada awalnya risau sebab kalau boleh nak beraya (pagi raya) dengan mak dan daddy.

"Tapi bila borak dengan mak dia beritahu nak beraya dengan sahabat-sahabatnya jadi saya boleh pilih nak beraya dengan siapa dan di mana-mana,” kata Nabila sewaktu ditemui media baru-baru ini.

Tambah Abil, oleh kerana telah menyambut Syawal bersama keluarga suaminya, Mohd Izwan Johar di Singapura, dia memutuskan untuk ‘berkampung’ di kediaman bapanya, Amy Search.

“Sebenarnya saya pun agak lega kerana sudah berhari raya dengan mak yang pertama kali ikut beraya di Singapura bersama besannya Syawal lalu.

“Jadi tahun ini saya, suami dan Keisha check in rumah papa malam raya. Kami masak bersama-sama dan sambut Aidiladha.

"Dapatlah papa dengan mummy beraya dengan cucu mereka,” katanya lagi. -Gempak