FILEM komedi terbaharu arahan Mamat Khalid, Manap Karaoke mula menemui penonton di seluruh Malaysia secara terus ke pawagam rumah masing-masing hari ini menerusi Astro First (saluran 480).

Dibintangi oleh Joey Daud, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan ramai lagi, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki, Manap yang membuka perniagaan karaoke jalanan.

Terdapat banyak kisah lucu dan cabaran yang dilalui Manap dan rakan-rakannya dalam filem ini.
BACA: 'Manap Karaoke' filem pertama melangkau pawagam, dibawa terus ke rumah anda


Sebelum Manap dan rakan-rakannya menghiburkan anda semua, kami bawa anda untuk mengimbas kembali lima filem lain sentuhan sutradara Mamat.

Rock



Filem pertama trilogi Rock telah menemui penonton di seluruh negara pada tahun 2005.

Naskhah kegemaran ramai ini dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Que Haidar, Khir Rahman, Nabila Huda dan Siti Elizad.

Rock juga menampilkan latar belakang era-80 an serta beberapa lagu yang membangkitkan nostalgia rock kapak ketika itu.


Man Laksa



Man Laksa merupakan filem arahan Mamat yang diterbitkan pada tahun 2006 dan dibintangi oleh Yassin Senario, Saiful Apek dan ramai lagi.

Man Laksa mengisahkan percintaan Man Laksa dan Chah. Antara babak yang sukar dilupakan adalah kemunculan istimewa Datuk M Daud Kilau di penghujung filem ini.


Zombi Kampung Pisang



Sudah tentu masih ramai yang menonton berulang kali filem ini. Zombi Kampung Pisang mula ditayangkan pada tahun 2007 dan menampilkan sisi berbeza dan melucukan berbanding filem zombi lain.

Zombi Kampung Pisang dibintangi oleh Datuk Awie, Datuk AC Mizal, Soffi Jikan, Ezlynn, Que Haidar dan ramai lagi.


Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit



Filem ini merupakan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010). Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit ini mula menemui penonton pada tahun 2013.

Dibintangi oleh Datuk Awie, Usop Wilcha, Ezlynn, Rashidi Ishak dan ramai lagi, filem ini telah mendapat kutipan sebanyak RM5.89 juta sehingga hari akhir tayangan.


Hantu Kak Limah



Hantu Kak Limah atau pada mulanya dikenali sebagai Hantu Kak Limah 3, merupakan filem komedi seram kegemaran ramai di Malaysia.

Siapa sahaja yang tidak teringat akan lakonan hebat teraju utamanya iaitu Dalimawati serta barisan pelakon hebat lain seperti Datuk Awie, Uqasha Senrose, Zul Ariffin dan ramai lagi.

Sehingga 2 September 2018, filem ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM36.23 juta sekali gus menjadikannya filem pecah panggung ketika itu.