Siapa yang tidak kenal dengan pelakon Leonardo DiCaprio?

Terkenal dengan gelaran heartthrob di awal kemunculannya melalui filem Romeo and Juliet pada tahun 1996, populariti DiCaprio kemudiannya melonjak ke tahap tertinggi selepas membintangi filem Titanic pada tahun 1997.

Sempena ulang tahun ke 41 DiCaprio hari ini, kami kongsikan beberapa fakta menarik tentang aktor tampan ini.

1. Dilahirkan sebagai Leonardo Wilhelm DiCaprio dan berdarah kacukan Jerman-Itali-Russia.

2. Ketika mengandungkannya, ibu DiCaprio melawat sebuah muzium di Itali dan ketika sedang meneliti potret Monalisa karya Leonardo Da Vinci, dia merasakan bayinya menendang buat kali pertama. Justeru, bayi itu dinamakan Leonardo.

3. Bapa DiCaprio, George, merupakan seorang pelukis komik, manakala ibunya, Irmelin, seorang setiausaha.

4. Ketika mula-mula menceburi bidang lakonan, Dicaprio dicadangkan menggunakan nama Lenny Williams kerana ramai beranggapan namanya kedengaran terlalu 'etnik'.

5. Pembabitan DiCaprio di dalam Titanic, sebahagiannya adalah hasil pujukan heroinnya, Kate Winslet. Kate yang hadir ke ujibakat filem itu bersama DiCaprio, dilaporkan memberitahu pengarah James Cameron, "Tidak mengapa jika anda tidak pilih saya, tetapi pilihlah dia (DiCaprio) kerana dia sangat berbakat".

6. Hubungan DiCaprio dan Winslet sangat akrab, malah ramai peminat hairan mengapa mereka tidak berpasangan. Dalam temubual dengan majalah Marie Claire beberapa tahun lepas, Winslet berkata mereka lebih selesa berkawan.

"Kami akrab kerana kami adalah sahabat. Dia melihat saya seperti rakan lelakinya, dan saya melihat dia seperti rakan perempuan saya," kata Winslet.

7. Sangat prihatin terhadap isu alam sekitar, seperti isu haiwan liar terancam dan pemanasan global.

8. Ramai menyifatkan kekalahan lima kali DiCaprio dalam Anugerah Akademi sebagai 'tidak patut'. Malah, ramai berpendapat DiCaprio sudah sepatutnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah trofi Oscar, terutamanya untuk watak Jordan Belfort dalam filem The Wolf Of Wall Street, terbitan tahun 2013.