LOS ANGELES: Selepas 17 tahun memegang watak utama dalam drama bersiri perubatan, Grey’s Anatomy, pelakon Ellen Pompeo disahkan bakal meninggalkan set penggambaran drama itu untuk musim depan.

Memetik laporan CNN Indonesia, Pompeo yang membawa watak Meredith Grey dalam drama yang pernah memenangi Anugerah Emmy dan Golden Globe ini dilaporkan menjalani penggambaran hari terakhir di set, baru-baru ini.

Berita ini dikuatkan lagi menerusi video pengenalan musim baharu yang disiarkan pada 23 Februari 2023 apabila Pompeo jelas menunjukkan dia akan meninggalkan Hospital Grey Sloan, Seattle.

"Pada 23 Februari, satu bab berakhir dan satu bab baharu bermula," tulis kapsyen video promosi Grey's Anatomy musim baharu.


Sementara itu, Pompeo mengeluarkan kenyataan dia tidak begitu teruja untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon selepas menamatkan penggambaran untuk Grey's Anatomy dan besar kemungkinan watak Meredith Gray mungkin akan menjadi watak terakhirnya dalam lakonan.

"Saya tidak mengatakan saya tidak akan berlakon lagi. Saya berkemungkinan besar akan melakukannya tetapi saya tidak begitu teruja untuk terus berlakon," kata Ellen dalam podcast Ladies First bersama Laura Brown seperti yang dilaporkan majalah People pada Ogos 2021.

Pelakon kelahiran 1969 ini memegang watak utama Grey's Anatomy sejak musim pertama disiarkan pada 2005 hingga musim ke-19.

Pada Mei 2021, siri ini juga disahkan untuk diteruskan untuk musim ke-18 dan kini memasuki musim ke 19.

Grey's Anatomy ialah drama bersiri paling lama siaran ABC yang diterbitkan oleh Shonda Rhimes manakala Vernoff sebagai pelakon dan penerbit eksekutif.

Antara pelakon yang terlibat di musim awal drama bersiri ini adalah Sandra Oh, Katherine Heigl, Justin Chambers, T. R. Knight, Chandra Wilson, James Pickens Jr., Isaiah Washington dan Patrick Dempsey.