PENGARAH dan produser filem, Datuk Yusof Haslam tidak menafikan beberapa babak yang dilakonkan dalam drama premium KUASA ada sedikit persamaan dengan diri dan keluarganya.

Namun Yusof Haslam menegaskan ia hanya kebetulan dan rekaan sahaja kerana idea asalnya datang dari anak perempuan beliau Syamin Yusof.

“Bila tonton episod pertama, saya tak nafikan ia seperti ada persamaan dengan diri saya , kebetulan pula ia cerita dalam dunia hiburan tapi ia perkara biasa.

“Sebenarnya jika hendak diikutkan banyak kisah-kisah yang dipaparkan dalam drama ada persamaan dengan keluarga atau individu yang menonton.

"Ini adalah kisah realiti dan fantasi yang dicantikkan lagi dengan kreativiti pengarahnya, Kroll Azry.

“Syamin iaitu adik kepada Syamsul yang mencetuskan idea untuk drama premium ini. Jangan salah anggap kerana ia bukan kisah daripada keluarga Yusof Haslam.

"Tidak dinafikan konflik dalam keluarga adalah perkara biasa. Malah, saya sendiri tidak boleh lari daripada persepsi orang ramai. Mereka berhak untuk meletakkan penilaian masing-masing,” katanya kepada Gempak.

Yusof ditemui sewaktu majlis sidang media drama premium Kuasa kerjasama Astro Shaw dan Skop Productions di Dadi Cinema, Pavillion, pada Rabu.

Drama yang bakal menemui penonton mulai 11 April ini mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.

KUASA yang merupakan Astro Original siri itu membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Nadia Brian,Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.

Tambah Yusof lagi, sepatutnya dia terlibat sama dalam drama premium itu tetapi disebabkan kekangan masa ia tidak menjadi.

"Sepatutnya saya berlakon dalam drama ini tetapi disebabkan jadual kerja yang tidak mengizinkan, maka watak itu diberikan kepada orang lain.

"Mujur juga, takut kalau saya berlakon lagi orang percaya mengenai keluarga saya. Apa yang pasti, plot dan penceritaan drama ini berbeza dari drama-drama yang sedia ada," katanya.

KUASA menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya.

Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.

Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 11 April ini.

Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.



*Artikel asal di Gempak