Steven Spielberg sertai kelab elit EGOT selepas menang Grammy pertama

Spielberg sebelum ini sudah memiliki tiga anugerah Oscar, empat Emmy dan satu Tony sebelum kemenangan Grammy ini, yang mengiktiraf kerjasama beliau dengan komposer tersohor John Williams. - Gambar Reuters/Mike Blake
ANKARA: Pengarah filem terkenal Steven Spielberg mencapai status EGOT selepas memenangi anugerah Grammy pertamanya, sekali gus menjadi ahli terbaharu dalam kelab elit penghibur yang telah memperoleh kesemua empat anugerah utama industri tersebut, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media pada Ahad.
Ringkasan AI
- Pengarah filem terkenal Steven Spielberg mencapai status EGOT selepas memenangi anugerah Grammy pertamanya.
- Spielberg kini menjadi ahli kelab elit penghibur yang memperoleh kesemua empat anugerah utama industri: Emmy, Grammy, Academy Award (Oscar), dan Tony.
- Kesemua 24 orang yang mencapai status EGOT termasuk Mel Brooks, Whoopi Goldberg, Audrey Hepburn, Rita Moreno, dan John Legend, menunjukkan tahap pencapaian tertinggi dalam dunia hiburan.
Spielberg sebelum ini sudah memiliki tiga anugerah Oscar, empat Emmy dan satu Tony sebelum kemenangan Grammy ini, yang mengiktiraf kerjasama beliau dengan komposer tersohor John Williams.
"Pengiktirafan ini amat bermakna bagi saya," kata Spielberg dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh syarikat produksinya, Amblin Entertainment, sambil memuji pengaruh dan legasi Williams dalam muzik filem.
Istilah EGOT mula diperkenalkan pada 1980-an dan sejak itu ia melambangkan tahap pencapaian tertinggi merentas pelbagai industri dalam dunia hiburan.
Antara pemenang EGOT yang paling terkemuka ialah Mel Brooks, Whoopi Goldberg, Audrey Hepburn, Rita Moreno dan John Legend, di mana masing-masing diiktiraf dalam bidang filem, televisyen, muzik dan teater.
Nama lain seperti Andrew Lloyd Webber, Elton John, Viola Davis dan Jennifer Hudson, turut menyertai kelab itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beberapa artis berprofil tinggi kini semakin hampir untuk mencapai status EGOT, menurut laporan media tersebut.
Lin-Manuel Miranda, Cynthia Erivo dan Hugh Jackman adalah antara mereka yang telah memenangi tiga daripada empat anugerah utama dan hanya memerlukan satu lagi anugerah untuk melengkapkannya.
Penerima anugerah kehormat EGOT, termasuk Barbra Streisand, Liza Minnelli dan Quincy Jones, juga diberikan pengiktirafan selepas menerima anugerah khas atau sepanjang hayat dalam satu daripada kategori tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


