KUALA LUMPUR:Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin pada Isnin berkongsi perjalanan proses persenyawaan in vitro atau In vitro fertilization (IVF) bagi kandungan anak keduanya sempena hari lahirnya.

Kini, usia kandungan beliau hampir memasuki lima bulan dan dalam perkongsian itu, pelbagai kenangan manis dan pahit turut dikongsi beliau.

Dalam video vlog yang berdurasi selama 15 minit yang dimuat naik menerusi saluran YouTubenya pada 11 Januari, beliau berkongsi kisah suka-duka, cabaran yang dilaluinya ketika melakukan proses IVF.

Siti Nurhaliza atau mesra disapa Tok Ti, 41, meluahkan, beliau banyak menangis berbanding proses sama yang dilakukannya ketika mengandung Siti Aafiyah Khalid dua tahun lalu.

Penyanyi yang disenaraikan oleh Forbes.com sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh dalam media sosial peringkat Asia-Pasifik, beliau berkongsi perjalanan IVF kali ini kerana mahu memberi harapan kepada mereka yang mengalami situasi yang sama seperti dirinya.

"Pada dasarnya, ini adalah proses yang sama saya lalui semasa mengandungkan Aafiyah. Tetapi dengan dia (Aafiyah), saya tidak merasa terlalu banyak menangis, tetapi kali ini saya lebih banyak menangis sebab usaha saya bersama suami berjaya.

"Bukan mudah untuk mendapat zuriat namun kita haruslah percaya dengan rezeki Allah SWT dan terus berusaha untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

"Ada juga beberapa peminatnya memberi komen menyatakan mereka juga mengalami situasi yang sama iaitu masih menanti zuriat dan memohon doa supaya urusan mereka dipermudahkan sama seperti TokTi," katanya dalam vlog yang mendapat 38,853 tontonan dalam masa 14 jam.

Rakaman vlog itu mendokumentasikan bermula sejak beliau memasukkan embrio ke dalam rahimnya sehingga beliau benar-benar disahkan hamil.

Dalam video itu juga, turut terselit babak-babak keterujaan untuk melihat hasil proses IVF yang dijalankan beliau.

Selepas enam hari proses itu dilakukan, ujian tidak menunjukkan tanda-tanda kehamilan, namun selepas seminggu ia mula nampak seakan-akan ada hasil yang positif sehingga membuatkan Tok Ti menangis.

"Doktor nasihatkan saya supaya membuat ujian kehamilan selepas 10 hari, tetapi saya tidak sabar sejak mengandung Aafiyah lagi.

"Sejak hari ke enam proses IVF Siti mahu lihat hasil dan pada awal tidak nampak hasil sehingga ujian kehamilan yang ketujuh. Ketika ini ada nampak tetapi masih kabur. Selepas itu baru Siti guna ujian kehamilan Clearblue dan menampakkan hasil yang amat positif.

"Tetapi jika mahu tahu keputusan yang sahih adalah melalui ujian darah. Jadi, saya buat ujian darah dirumah sahaja untuk mengetahui keputusan proses IVF dan kena tunggu dalam tempoh tiga jam.

"Ujian darah pertama memang mengesahkan yang saya hamil, namun doktor agak tidak berpuas hati sebab bacaannya agak rendah dan doktor sarankan agar saya lakukan ujian darah kali kedua.

"Saya buat ujian darah yang kedua dan Alhamdulillah bacaan kali ini amat menyakinkan dan akhirnya saya disahkan hamil, syukur," luah Siti dalam nada sebak.

Tok Ti mengesahkan beliau hamil anak keduanya pada 1 Disember.