Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA 2013) akan diadakan di Kampung Budaya, Kuching, Sarawak pada 28 Mac 2013. Lebih 80 buah filem akan dipertandingkan dalam acara tersebut yang digelar 'Movies In The Rainforest'.

Pengunjung yang hadir dapat merasai pengalaman berbeza menonton filem dalam suasana alam
semulajadi di dalam hutan hujan malah mendapat nilai tambah menghayati pelbagai karya menarik ASEAN pada malam itu dengan bayaran RM18 sahaja.

Apa yang menarik, penggemar karya seni berpeluang merasai pengalaman menonton wayang
20 jam tanpa henti bermula dari pukul 12 tengahari hingga pukul 7 pagi keesokan harinya. Festival ini bakal melibatkan penggiat filem dari ASEAN, Bollywood dan Hollywood yang akan berkumpul untuk berkongsi kemahiran mereka di dalam industri perfileman.

Pengarah dan Penerbit filem tersohor negara, U-Wei Haji Shaari akan mengetuai barisan
juri yang turut menampilkan nama-nama besar pengarahan filem dari ASEAN iaitu Deborah
Gabinetti Pengarah Pusat Filem Bali, U Aung Lwin dari Myanmar, Ricky
Davao dari Filipina dan Jack Neo dari Singapura.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai penggiat filem negara ini untuk melihat penganjuran pertama AIFFA 2013 berjaya, kerana kita sememangnya memerlukan festival seumpama ini, yang mempunyai hala tuju yang kukuh terutamanya dalam membawa karya tempatan ke persada antarabangsa. Ditambah pula dengan semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh anggota negara-negara ASEAN dalam Anugerah AIFFA 2013, maka tidak ada alasan untuk saya menolak apabila ditawarkan menjadi Ketua Juri Anugerah AIFFA 2013.” menurut U-Wei.

AIFFA 2013 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Sarawak dan disokong sepenuhnya oleh
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Kementerian Luar Negeri
Malaysia (Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia), serta Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (FINAS).

Filem yang berjaya dicalonkan ke peringkat akhir pula akan ditayangkan pada 29 dan 30 Mac 2013 di Kompleks Pelancongan Sarawak. Tiket ‘Movies in the Rainforest’ boleh didapati dengan menghubungi talian 082-414661 atau 1800 88 96753. Maklumat lanjut boleh didapati di www.aseanfilmfest.com atau laman rasmi Facebook AIFFA 2013.