JIKA diikutkan, tahun 2020 merupakan tahun yang agak mencabar buat warga dunia.

Bagaimanapun, bagi kumpulan K-Pop baharu, TREASURE, tahun ini amat bermakna buat mereka.

Selepas membuat debut pada Ogos lalu, kumpulan yang dianggotai 12 jejaka tampan itu meraih anugerah Artis Baharu Lelaki Terbaik pada Mnet Asian Music Awards 2020.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama AWANI Pagi, TREASURE mendedahkan bahawa mereka menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert jelajah dunia.

“Sebelum kami membuat debut, kami pernah berkata bahawa matlamat kami adalah untuk membuat konsert jelajah dunia.

“Kami selalu mengimpikan suatu hari nanti di mana saya dapat berdiri pentas bersama-sama semua TREASURE MAKER di seluruh dunia pada konsert jelajah dunia,” kata ketua kumpulan Choi Hyun Suk.

 
Sumber Facebook astroawani

Sementara itu, kumpulan itu yang tampil dengan lagu terbaharu mereka ‘MMM’ turut berkongsi inspirasi di sebalik lagu tersebut.

“Lagu ‘MMM’ ialah lagu bergenre hip hop dan trap yang mengasyikkan serta menampilkan irama yang menakjubkan.

“Berlainan daripada lagu sebelum ini, ia menampilkan lebih karisma dan saya boleh memberitahu anda bahawa ia merupakan lagu hip hop yang menonjolkan koreografi tarian yang lebih hebat,” kata Hyun Suk.

Vokalis utama, Bang Ye Dam pula mereka ingin menunjukkan minat mereka terhadap muzik menerusi ‘comeback’ terbaharu mereka itu.



“Kami mengeluarkan tiga album dalam tempoh kurang daripada 100 hari, dan saya fikir kami dapat menunjukkan minat kami terhadap muzik.

“Kami bekerja keras dan banyak berlatih untuk menunjukkan persembahan yang bagus.

“Jadi, semoga peminat kami suka dan menunjukkan sokongan buat album ketiga kami,” katanya.

TREASURE merupakan kumpulan baharu yang ditampilkan YG Entertainment selepas empat tahun, berikutan kejayaan dengan kumpulan sensasi Korea Selatan, Blackpink pada 2016.

Kumpulan yang dianggotai lapan ahli dari Korea Selatan dan empat ahli dari Jepun itu terbentuk daripada finalis rancangan televisyen, ‘YG Jewel Box yang bersiaran antara November 2018 dan Januari 2019.

Pastinya rata-rata TREASURE MAKER (nama fandom TREASURE) tidak sabar untuk bertemu dengan idola-idola mereka di pentas konsert.

Semoga Malaysia menjadi antara negara yang tersenarai dalam konsert jelajah dunia yang akan diadakan TREASURE.

Kongsikan keterujaan anda bersama-sama kami!