SEMEMANGNYA anda sedia maklum ramai selebriti Hollywood yang tergolong kepada kaya, namun pasti anda tidak menyangka enam selebriti berikut mempunyai aset yang mencecah lebih AS$1 bilion.

Apa yang membezakan mereka daripada barisan selebriti yang lain bukan sahaja bakat mereka dalam industri yang mereka ceburi, tetapi mereka memanfaatkan kejayaan mereka untuk membuat pelaburan yang mampu menjana pendapatan yang besar melebihi pendapatan dari hasil kerja mereka semata.

Nama seperti Kylie Jenner, Jay-Z, dan Kanye West semestinya tidak lagi asing bagi peminat tegar dunia Hollywood. Mereka menjadi jutawan dalam dua tahun kebelakangan ini dengan jenama pakaian dan produk kecantikan masing-masing.

KANYE WEST

Kanye West merupakan suami kepda personaliti televisyen terkenal, Kim Kardashian West


Selain meraih keuntungan berjuta dolar dari album hit dan konsert, penyanyi Rap Kanye West, 42, menjadi jutawan kerana kejayaan jenama pakaian kasualnya, Yeezy, menurut laporan Forbes. Forbes menganggarkan bahawa nilai bersih aset West sebanyak AS$1.3 bilion walaupun West mendakwa bahawa nilai bersih asetnya berjumlah AS$3.3 bilion.

Menurut Forbes lagi, kekayaan West dibahagi antara saham bernilai AS$1.26 bilion dalam jenama pakaian sukan Yeezy, AS$17 juta tunai, AS$35 juta saham, AS$21 juta hartanah, AS$3,845,162 nilai kenderaan, ternakan AS$297,050, dan hutang berjumlah AS$53 juta yang dikongsi bersama isterinya, Kim Kardashian West.

KYLIE JENNER

Kylie Jenner merupakan pengasas kepada Kylie Cosmetics yang mula dilancarkan pada November 2015


Jenner menjadi bualan hangat pada Mac 2019 setelah Forbes mengisytiharkannya sebagai jutawan termuda dengan nilai AS$1 bilion pada usia 21 tahun. Sebilangan besar kekayaan Jenner datangnya dari dari syarikat kecantikannya, Kylie Cosmetics, yang bernilai AS$1.2 bilion.

Menurut laporan Business Insider's Dominic-Madori Davis pada November, ia setelah pemilik syarikat kosmetik CoverGirl iaitu Coty Inc. bersetuju untuk membeli majoriti saham syarikat Kylie Cosmetics.

Jenner, kini 22 tahun, mula tampil di rancangan televisyen realiti keluarganya, "Keeping Up with the Kardashians" pada usia 10 tahun dan sejak itu mula tular di media sosial dan semakin berpengaruh sehingga saham aplikasi popular media sosial Snap pernah jatuh sehingga 7 peratus hanya gara-gara Jenner membuat pengakuan di Twitter telah berhenti menggunakan aplikasi Snap pada tahun 2018.

JAY-Z

Jay Z pernah berduet bersama isterinya, Beyonce dalam lagu 'Crazy in Love'


Bintang Rap Jay-Z, 50, dianggarkan meraih hampir AS$500 juta dari 14 album terlarisnya, namun sebahagian besar kekayaannya berasal dari usaha perniagaannya, menurut Forbes.

Jay-Z membangunkan barisan jenama pakaian yang dijualnya kepada Iconix dengan nilai AS$204 juta pada tahun 2007 selain memiliki jenama arak, D'Ussé.

Jay-Z juga membeli Tidal, sebuah syarikat perkhidmatan pemstriman muzik dengan harga AS$56 juta pada tahun 2015. Pada tahun 2017, Sprint membeli 33 peratus saham dalam syarikat itu dengan harga AS$200 juta. Nilai pegangan Jay-Z dalam syarikat itu kini bernilai AS$100 juta, menurut Forbes.

Jay-Z juga juga mempunyai koleksi seni peribadi bernilai AS$70 juta, saham di Uber bernilai AS$70 juta, dan dia memiliki hartanah AS$50 juta.

Antara koleksi kereta suami kepada penyanyi Beyonce Knowles itu termasuklah Bugatti Veyron, Mercedes-Benz McLaren SLR, Ferrari F430 Spider dan Dartz Pombron.

OPRAH WINFREY

Oprah Winfrey yang menerbitkan rancangan realiti sendiri, 'The Oprah Winfrey Show' telah bertahan selama 25 musim sejak tahun 1986

Wanita yang berasal dari Mississippi Amerika Syarikat ini memulakan kerjaya sebagai pembaca berita sebelum menghabiskan 25 tahun menjadi hos untuk rancangan terbitannya sendiri, "The Oprah Winfrey Show." Pelaburan yang dilakukan Winfrey dengan saham keuntungan rancangannya kini bernilai sekitar AS$2 bilion, menurut Forbes. Dia menjadi jutawan pada tahun 2003, menurut Los Angeles Times.

Winfrey, kini 66 tahun, memanfaatkan kejayaan rancangannya untuk membangunkan empayar media dan mengumpulkan sebanyak AS$2.6 bilion dalam tempoh itu, menurut Forbes. Dia memiliki 25.5 peratus rangkaian televisyen OWN, 8 peratus saham dalam majalah WW International, dan mempunyai perjanjian penerbitan dengan AppleTV+.

Oprah juga pernah menyumbangkan suara dalam filem animasi "Charlotte's Web," "The Bee Movie," dan "The Princess and the Frog," selain membintangi filem "Lee Daniels 'The Butler" dan "Selma," menurut majalah The Oprah.

Dia mempunyai 7 buah rumah kesemuanya, dimana salah satunya terletak di Montecito, Santa Barbara, California yang bernilai AS$50 juta dan berukuran 23,000 kaki persegi.

STEVEN SPIELBERG

Steven Spielberg pernah menerbitkan filem 'Jaws', 'Jurassic Park' dan 'Catch Me If You Can'.


Kejayaan box office filem "Jaws", "E.T. Extra-Terrestrial" dan "Jurassic Park" antara lain, telah menjadikan Spielberg sebagai antara penerbit dan pengarah tersohor sepanjang masa.

Menurut Forbes, sebahagian besar kekayaan Spielberg berasal dari filem arahan dan diterbitkannya, namun dia juga mendapat keuntungan dari peranannya sebagai perunding untuk taman tema Universal dan penjualan DreamWorks Animation kepada NBC Universal dengan harga AS$3.8 bilion pada tahun 2016.

Spielberg, 73, mengasaskan DreamWorks Pictures bersama Jeffrey Katzenberg dan David Geffen. Walaupun Forbes menganggarkan bahawa asetnya bernilai AS$3.6 bilion, Indeks Billionaires Bloomberg meletakkan nilai bersih Spielberg jauh lebih tinggi, iaitu AS$6.15 bilion.

GEORGE LUCAS

George Lucas merupakan penerbit untuk francais filem popular 'Star Wars' dan 'Indiana Jones'


Peminat filem Star Wars dan Indiana Jones pasti pernah mendengar nama George Lucas, yang menerbitkan dua francais filem popular itu.

Lucas, 75, memperoleh sebahagian besar kekayaannya dengan menjual studio produksi Lucasfilm kepada Disney dengan wang tunai dan stok bernilai AS$4.05 bilion pada tahun 2012, menurut Bloomberg.

Walaupun Forbes menganggarkan bahawa aset Lucas bernilai AS$5.2 bilion, Bloomberg Billionaires Index meletakkan nilai bersihnya sedikit lebih tinggi, pada AS$6.76 bilion.

Lucas juga merupakan penerbit eksekutif "The Land Before Time" dan menulis "American Graffiti," menurut IMDb. Filem terlarisnya, "Star Wars: Episode I - The Phantom Menace," menghasilkan AS$474 juta di box office.

Walaupun Lucas pada asalnya bercita-cita menjadi pelumba kereta, dia memutuskan untuk meneruskan hasrat membikin filem setelah hampir maut dalam kemalangan kereta. Lucas belajar mengenai filem di University of Southern California sebelum menubuhkan Lucasfilm, menurut laman web universiti. Lucas bersara dari studionya pada tahun 2012 untuk mengalihkan perhatiannya kepada penerbitan filem bebas, menurut The New York Times.