Bagi lelaki, isu poligami adalah sesuatu yang menyeronokkan tapi perspektif berbeza pula boleh dilihat pada kaum wanita.

Justeru, filem Cinta Paling Agung mengetengahkan dua perspektif berbeza dari pandangan suami dan isteri mengenai poligami.

Filem ini arahan Hanung Bramantoyo yang pernah popular dengan filem Ayat-Ayat Cinta. Dan sepertimana Ayat-Ayat Cinta, tema poligami sekali lagi dijadikan 'mainan' utama cerita ini.

Bezanya, CPA dikupas dengan cara berlainan iaitu bagaimana penerimaan si isteri dalam menerima perkhabaran suaminya ingin berkahwin satu lagi.

Aktor popular, Aaron Aziz melakonkan watak Khairi yang pada pendapat penulis mewakili rata-rata kaum lelaki yang merasakan poligami itu mudah jika diri mereka berkemampuan

Khairi seorang lelaki yang hebat serba-serbi sama ada dalam dari segi harta, keluarga dan kerjaya.

Bagi Khairi, jika seorang lelaki itu mampu, apa salahnya jika dia berkahwin lagi dan tindakan itu dibuatnya tanpa memikirkan perasaan isterinya, Amyza lakonan Siti Saleha.

Berbeza pula dengan Amyza yang tidak dapat menerima hakikat rumahtangga bahagianya selama 10 tahun bakal tergugat dengan begitu mudah.

Memang kita ketahui yang jarang ada pihak wanita yang dapat menerima dengan mudah isu poligami.

Konsep berkongsi kasih sayang memang mudah dilafazkan namun hanya wanita yang tahu pengertian dan penerimaan sebenar konsep tersebut.

Lantas, Amyza menggunakan jalan mudah iaitu meminta cerai dan lebih mengejutkan, Khairi dengan mudah bersetuju, memberikan gambaran lelaki bahawa lelaki yang sudah mabuk cinta kadangkala tidak dapat membuat keputusan secara rasional.

Hanya kerana menagih cinta baru, Khairi sanggup melepaskan cinta lamanya yang telah dimiliki selama 10 tahun, wanita yang pada awalnya dilafazkan sebagai `cinta paling agung`.

Namun menyerah dengan mudah bukan sifat Amyza dan kekuatan seorang wanita dalam mempertahan rumahtangganya dipamerkan dalam filem ini apabila Amyza meletakkan beberapa syarat kepada Khairi jika lelaki itu nekad menceraikannya.

Peneraju ketiga untuk CPA ialah Dewi lakonan Zaskia Adya Mecca, Dewi digambarkan sebagai gadis yang innocent pada permulaan cerita, di mana dia mewakili sesetengah wanita lain yang tidak pernah berkahwin, dan merasakan mudah untuk berkongsi kasih sayang dengan suami orang.

Namun sepanjang perjalanan filem ini, watak Dewi berkembang dan cabaran untuknya berkahwin dengan Khairi menjadikan dia perlahan-lahan berubah dan memahami konsep cinta.

Keseluruhan, ketiga-tiga watak utama cerita ini berkembang dengan baik dan setiap dari mereka berlaku perubahan apabila berdepan dengan konflik yang melanda.

Tema Islamik diterapkan dengan baik dan menjadi pendorong kepada perubahan dan kematangan ketiga-tiga watak utama, sekali gus menjadi memberi pengajaran kepada penonton untuk memahami konsep poligami dan cinta paling agung.

Dari segi lakonan, penulis paling tertarik dengan penjiwaan Siti Saleha yang meskipun belum pernah berkahwin, penghayatan wataknya sebagai isteri yang bakal diduakan suami amat menjadi dan penulis dapat merasakan penderitaan wataknya sebagai Amyza.

Pelakon lain seperti Aaron Aziz dan Zaskia juga tidak mengecewakan, cuma penulis dapat merasakan Aaron Aziz dapat memberikan lebih untuk wataknya sebagai Khairi.

Babak kegemaran penulis sudah tentunya konfrantasi antara Khairi dan bapa Dewi apabila Khairi meminta keizinan untuk berkahwin dengan Dewi meskipun sudah beristeri sebelum ini.

Ianya begitu pada dan memberi tamparan hebat buat lelaki di luar sana yang merasakan poligami itu adalah perkara mudah jika diri mereka berkemampuan.

Mesej yang disampaikan juga jelas dan memberi pemahaman sebenar tentang konsep Cinta Paling Agung dalam filem ini.

Sementara itu, warga media sosial turut menyatakan reaksi positif mereka tentang drama ini.







Untuk itu, jangan lupa langgani Cinta Paling Agung yang kini ditayangkan di Astro First sekarang.