PELAKON Datuk Rosyam Nor mengakui usianya kini yang sudah mencecah 51 tahun tidak menjadi penghalang untuk memegang watak utama dalam sesebuah filem.

Menurut Rosyam, dia mahu membuktikan kepada orang ramai bahawa usia bukan menjadi penghalang untuk berjaya dan menarik penonton pergi ke pawagam untuk menonton filem.

"Saya bersyukur kerana pada usia saya ini masih ada penerbit dan pengarah yang memberi kepercayaan untuk menjadi hero dalam sesebuah filem yang diterbitkan.

"Saya mahu buktikan bahawa pada usia kini saya mampu lakukan pelbagai perkara termasuk aksi lagak sendiri kerana peluang yang datang ini tidak boleh disia-siakan.

"Rasanya tidak salah untuk pelakon berusia diberikan watak utama kerana jika kita lihat filem dari luar negara walaupun pelakon mereka sudah berusia tetapi tetap diberi peranan utama dalam sesebuah filem.

"Saya harap dengan kejayaan yang dilakukan saya ini dapat membuka mata banyak pihak terutama penerbit dalam memberi tawaran kepada pelakon lain pula untuk jadi hero walaupun mereka sudah berusia," katanya kepada Astro Gempak.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem KL Special Force di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Datuk Rosyam Nor filem bercorak kepolisan ini turut dibintagi Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem KL Special Force di pawagam seluruh sekarang.