KUALA LUMPUR: Usahawan wanita dari Seremban, Vanishaantini MM Pellayrameas, 27, dinobatkan sebagai Mrs Malaysia World 2023.

Isteri kepada doktor gigi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, barangan kemas bernilai RM25,000 dan pembiayaan perbelanjaan mewakili Malaysia dalam pertandingan Mrs World di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 14-21 Jan 2024.

Pengarah Nasional Mrs Malaysia World merangkap Pengarah Urusan Mrs Malaysia World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur hari ini berkata Vanishaantini akan bersaing dengan peserta dari lebih 60 negara dalam Mrs World, pertandingan ratu cantik bagi wanita sudah berkahwin yang pertama dan paling lama.

Pada pertandingan Mrs Malaysia World 2023 yang berlangsung di sini Ahad lepas, penerbit TV yang juga penyampai dan penyanyi, Laxmi Baker, 44, dari Ipoh memenangi tempat kedua; pegawai pemasaran digital Nerin Kaur, 31, dari Kuala Lipis, Pahang, di tempat ketiga dan doktor perubatan sukan, Dr Malini Karupiah, 44, dari Ipoh, di tempat keempat.

Acara tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Mrs World 2022, Sargam Koushal dari India.

Harveen Kaur berkata tahun ini merupakan ulang tahun kelima Mrs Malaysia World Sdn Bhd, syarikat yang diasaskan pada 2018 oleh Datuk Dr Kattayat Mohandas, seorang pakar bius terkemuka yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA