PELAKON dan penyanyi Jung Joon Young baru-baru ini menjadi perhatian peminat apabila dikaitkan dengan sebuah video seks bersama seorang wanita.

Soompi melaporkan syarikat pengurusannya C9 Entertainment telah menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan walaupun mereka sebelum ini enggan memberi sebarang kenyataan kerana tidak mahu isu berkenaan menjadi lebih parah.

"Pihak kami menyedari tentang cakap-cakap mengaitkan artis kami namun enggan membuat sebarang kenyataan kerana merasakan tidak perlu berbuat demikian memandangkan lelaki dalam video itu bukan Joon Young.

"Bagaimanapun pihak C9 Entertainment merasakan sudah tiba masanya kami tampil membuat penjelasan kepada orang ramai kerana ia semakin serius dan mencalar nama baik Joon Young," kata wakil agensi berkenaan dalam satu kenyataan.

Namun disebabkan video tersebut tersebar luas di internet, ia memaksa syarikat pengurusan tersebut untuk segera mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mereka juga akan menyiasat untuk mencari dalang di sebalik penyebaran video tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang selepas menyiasat siapa dalang yang menyebarkan video berkenaan selain menuduh lelaki dalam video itu sebagai Joon Young," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, menerusi sebuah laporan penyanyi berkenaan mengakui ada merakam video seks dengan bekas kekasihnya namun menegaskan ia atas persetujuan dengan wanita berkenaan namun ia telah dipadam.