BARU-BARU ini, klip menyentuh hati yang memaparkan pelakon terkenal Jackie Chan telah mendapat perhatian warganet selepas ia dikongsi di laman Twitter.

Dalam video berdurasi 40 saat yang diambil daripada filem terbaharu Jackie Chan “Ride On,” pelakon itu dilihat menonton klip peranan filem awalnya, mempamerkan aksi berani yang dilakukannya sebelum mencapai kemasyhuran Hollywood.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian peminat, bukan sahaja aksi Jackie Chan yang mengagumkan, namun kehadiran seorang wanita muda di sisinya yang mesra memanggilnya sebagai “papa.”


Identiti wanita tersebut jelas menjadi tanda tanya apabila ramai peminat kerap mencetuskan spekulasi bahawa dia adalah anak kandung bintang terkenal itu.

Bertentangan dengan spekulasi peminat, wanita muda dalam video tersebut bukanlah anak kandung Jackie Chan.

Dia ialah Liu Haocun, seorang pelakon berbakat yang memainkan watak anak perempuan beliau dalam filem “Ride On.”


Siapa Anak Perempuan Jackie Chan?

Etta Ng Chok Lam, anak kandung Jackie Chan, yang juga dikenali sebagai Xiao Long Nu, adalah seorang wanita muda berusia 23 tahun hasil dari perhubungannya dengan bekas ratu cantik Elaine Ng Yi-Lei.

Malangnya, laporan menunjukkan bahawa hubungan antara bapa dan anak perempuan tersebut sudah beberapa tahun terputus tanpa sebarang khabar berita. -Remaja