SEORANG wanita yang disyaki memeras ugut pelakon filem Parasite, Lee Sun-kyun telah ditahan oleh polis tempatan, beberapa jam selepas bintang itu ditemui sudah meninggal dunia.

Menurut laporan The Korea Herald, agensi Polis Metropolitan Incheon menahan suspek berusia 20-an selepas suspek gagal hadir di Mahkamah Daerah Incheon pada Selasa untuk semakan substantif waran tangkap yang dijadualkan (di Korea, semakan substantif waran tangkap ialah proses di mana individu yang ingin ditangkap polis boleh mengemukakan kes mereka di hadapan hakim).



Individu dikenali sebagai A telah dituduh memeras ugut mendiang sebanyak 50 juta won (RM179,000). Bahkan Sun-kyun sebelum itu telah membayar 350 juta won (RM1.6 juta) kepada suspek dan seorang lagi wanita yang juga pengurus sebuah bar mewah.

Nama Sun-kyun menjadi perhatian ramai selepas dia didakwa mengambil beberapa jenis dadah di rumah salah seorang pelayan wanita yang bekerja di sebuah kelab mewah di Gangnam.

Bagaimanapun menerusi siasatan yang dijalankan, Sun-kyun mendakwa dia diperangkap mengambil barang terlarang yang tidak diketahui isi kandungannya.

Ujian saringan dadah yang dilakukan sebanyak dua kali mendapati aktor itu bersih daripada sebarang pengambilan barang terlarang.

Pada 23 Disember lalu, Sun-kyun menghabiskan masa selama 19 jam bagi memberi keterangan berhubung kes ugutan dua wanita terbabit dan menerusi penguamnya, dia turut mencadangkan penggunaan ujian pengesanan pembohongan bagi menentukan siapa yang bercakap benar.

Aktor itu juga sebelum ini pernah dipanggil memberi keterangan pada 28 Oktober dan 4 November lalu bagi kes berkaitan menggunakan dadah.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian