HIBURAN
Zamani pun terkejut dapat masuk final GV

Pemilihan Zamani menjadi perdebatan di kalangan netizen kerana pada lagu pertama Dekat Padamu, Zamani gagal membawakan lagu tersebut dengan baik. -Facebook
MALAM tadi telah berakhirnya konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan peminat program tersebut.
Enam peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir ialah Noryn Aziz yang mendapat markah tertinggi iaitu 71.5%, Amelina (67.2%), Dia Fadila (66.4%), Mya Ruslee (66%), Zamani (64.4%) dan Billy Zulkarnain (61%).
Sementara itu, Forteen dan Hetty Sarlene terpaksa mengucapkan selamat tinggal.
Bagaimanapun, pemilihan Zamani menjadi perdebatan di kalangan netizen kerana pada lagu pertama Dekat Padamu, Zamani gagal membawakan lagu tersebut dengan baik.
“Sebelum keputusan diumumkan, sebetulnya saya merasakan yang saya tidak dapat ke final kerana telah melakukan kesilapan pada persembahan pertama, malah saya juga bersedia dengan keputusan yang bakal diberikan.
“Bagaimanapun alhamdulillah saya terpilih final menerusi markah keseluruhan untuk dua pusingan persembahan pada konsert separuh akhir ini. Saya memang betul-betul tak sangka, tapi kita kena yakin itu rezeki ALLAH.
Sementara itu, bagi juri tetap, Datuk Ramli MS yang ditemui selepas konsert berakhir menyatakan setiap peserta termasuk Zamani, dinilai berdasarkan dua pusingan persembahan di mana markah kedua-duanya akan dicampurkan dan seterusnya menentukan kedudukan mereka secara keseluruhan.
“Dia memang hilang 65% markah daripada saya pada pusingan pertama kerana kesilapan yang dilakukan. Namun selepas dia pick up balik selepas korus, saya mengadilinya dengan markah 35% itu dan ia sangat rendah berbanding peserta lain.
“Bagaimanapun untuk persembahan kedua, saya memberikan markah yang tinggi kepadanya berdasarkan persembahan terbaiknya untuk pusingan tersebut. Juri-juri lain juga memberikan markah yang tinggi kepadanya untuk persembahan itu.
Kesemua peserta yang bertanding pada konsert separuh akhir ini diadili juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, selain Datuk Yusof Haslam selaku juri jemputan.
Konsert GV5 yang diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse ini dipancarkan secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam dan disiarkan di saluran Astro Ria dan Ria HD (123).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami