Ringkasan AI
- Bahrain menuntut Iran bertanggungjawab atas serangan ke atas wilayahnya dan meminta pampasan serta tindakan tegas Majlis Keselamatan PBB.
- Kementerian Luar Bahrain menolak alasan Iran, menegaskan kemudahan yang diserang adalah awam dan menuduh Iran mencabuli kedaulatan negara.
- Serangan menyebabkan kebakaran dan kerosakan harta benda, namun tiada kecederaan dilaporkan, sementara beberapa serangan berjaya dipintas oleh Angkatan Pertahanan Bahrain.
ISTANBUL: Bahrain pada Ahad menuntut Iran bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan terhadap wilayahnya dan membayar pampasan bagi kerosakan yang berlaku, selain menggesa tindakan tegas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Kementerian Luar Bahrain dalam satu kenyataan menolak alasan yang diberikan Tehran bagi mewajarkan serangan berkenaan, sambil menegaskan bahawa kemudahan perindustrian yang diserang baru-baru ini merupakan kemudahan awam.
Kementerian itu menuduh Iran menjadikan pertikaian dengan negara lain sebagai alasan untuk menyerang Bahrain, membahayakan orang awam dan mencabuli kedaulatan negara Teluk berkenaan.
Bahrain turut menegaskan haknya untuk mempertahankan diri, sama ada secara bersendirian atau bersama sekutunya, pada masa dan tempat yang ditentukan sendiri.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan serangan pada Sabtu yang menyebabkan sebuah kemudahan perindustrian terbakar dan mengalami kerosakan harta benda, namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut Kementerian Dalam Negeri.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan beberapa amaran keselamatan, manakala Angkatan Pertahanan Bahrain memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memintas beberapa serangan, dengan kerosakan kecil dilaporkan akibat serpihan yang jatuh.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa pihaknya memusnahkan dua radar sistem pertahanan udara Patriot milik Amerika Syarikat (AS) di Riffa dan Awali menerusi serangan peluru berpandu dan dron.
Agensi Berita Fars turut melaporkan dakwaan berkenaan, selain serangan terhadap kemudahan tentera AS di Sheikh Isa dan Juffair.
-- BERNAMA-ANADOLU