Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak perempuan perlu diberi keutamaan dalam pendidikan - Hun Manet

Foto: Reuters
Manet berkata tanggapan stereotaip yang sekian lama menggambarkan wanita Kemboja sebagai peserta pasif dalam kehidupan sosial dan ekonomi semakin tidak relevan. - Gambar fail/Reuters

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Selasa berkata pendidikan kanak-kanak perempuan perlu diberi keutamaan sebagai strategi untuk membangunkan modal insan yang kukuh bagi memacu ekonomi negara ke hadapan.

Beliau berkata tanggapan stereotaip yang sekian lama menggambarkan wanita Kemboja sebagai peserta pasif dalam kehidupan sosial dan ekonomi semakin tidak relevan.

Menurut beliau, golongan wanita muda kini semakin menyerlah sebagai usahawan, pemimpin korporat, pembuat dasar, pendamai global dan ejen transformasi sosial, sekali gus beralih daripada kelompok pinggiran kepada penggerak pembangunan negara.

"Kami percaya bahawa seorang kanak-kanak perempuan yang menerima pendidikan berkualiti, hidup dalam persekitaran yang selamat dan mempunyai keyakinan diri,(serta) diberi peluang untuk menyertai masyarakat, mampu mengubah bukan sahaja kehidupannya sendiri, malah kehidupan keluarga, komuniti dan negaranya," kata Manet pada Persidangan Dunia Ke-39 Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia, lapor portal berita Fresh News.

Beliau berikrar untuk terus memperjuangkan kesaksamaan jantina serta pemerkasaan wanita dan kanak-kanak perempuan kerana ia penting bagi melahirkan tenaga kerja wanita yang berkemahiran, berpendidikan dan profesional.

Menurut laporan Fresh News, beliau berkata wanita bukan sahaja penerima manfaat keamanan, malah turut memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan keamanan di peringkat keluarga, komuniti, negara dan antarabangsa.

Dengan wanita merangkumi hampir separuh daripada jumlah penduduk Kemboja dan majoritinya berusia di bawah 30 tahun, beliau berkata golongan itu akan menjadi teras kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Wanita Kemboja kini mencipta kejayaan dalam hampir setiap sektor ekonomi domestik. Kadar celik huruf wanita, menurut Bank Dunia, telah melepasi 80 peratus manakala kadar pendaftaran kanak-kanak perempuan mencapai 100 peratus pada 2021.

Golongan wanita juga memiliki 60 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara itu, dengan aktiviti keusahawanan mereka menjadi antara pemacu utama sektor swasta Kemboja.

Mereka menghasilkan makanan siap diproses, produk pertanian berkualiti tinggi untuk eksport serta mengendalikan kafe dan premis makanan dan minuman.

Dalam sektor korporat pula, wanita turut menguruskan firma perakaunan dan guaman, pusat perubatan swasta, klinik pergigian serta sekolah swasta.

Lebih 700,000 wanita menggerakkan sektor pakaian, tekstil dan kasut negara yang menjana kira-kira US$16 bilion (RM65 bilion) setahun kepada ekonomi Kemboja.

Walaupun kemajuan yang dicapai amat ketara, kumpulan masyarakat sivil berkata kanak-kanak perempuan masih berdepan pelbagai cabaran untuk menamatkan pendidikan asas mereka.

Halangan sosial dan budaya, kekurangan peluang, keciciran sekolah pada usia muda, perkahwinan awal, isu keselamatan serta diskriminasi berasaskan jantina terus menjejaskan masa depan mereka.

"Kerajaan terus meningkatkan pelaburan dalam kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita serta kanak-kanak perempuan bagi memanfaatkan dividen gender, menyokong hak wanita dalam membuat keputusan, mengurangkan kerentanan terhadap keganasan berasaskan gender dan menggalakkan hubungan antara generasi yang lebih kukuh," kata Manet.

Ketika Kemboja berhasrat keluar daripada status Negara Kurang Membangun menjelang 2029 dan mencapai status negara berpendapatan sederhana tinggi menjelang 2030, beliau berkata penyertaan wanita akan menjadi faktor penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dapat dikekalkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement