Seramai 1,022 individu pemegang kad kredit diisytiharkan muflis disebabkan kegagalan menyelesaikan hutang kad kredit bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, jumlah itu mewakili 0.03 peratus daripada 3.6 juta pemegang kad kredit utama di negara ini.

Kerana itu, jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan beberapa syarat pengeluaran kad kredit untuk memastikan hanya mereka yang layak dan berkemampuan sahaja diberi kemudahan kad kredit.

"Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit dinaikkan daripada RM18,000 setahun kepada RM24,000 sejak 17 Mac 2011.

"Pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja serta mempunyai had maksimum kredit tidak melebihi dua kali ganda pendapatan," katanya.

Othman berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Puteh (PAS), Datuk Dr Mazian Nik Mohamad berhubung bilangan pemegang kad kredit yang muflis.

Katanya, menerusi Garis Panduan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab, institusi kewangan dikehendaki memastikan pinjaman diberi berdasarkan kepada kemampuan individu untuk membayar semula pinjaman tanpa dibelenggu bebanan hutang melampau.

"Bank juga tidak lagi membenarkan pembiayaan berdasarkan prakelulusan termasuk untuk pembiayaan kad kredit," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong memberitahu hutang kad kredit bukan kes tertinggi yang menyebabkan rakyat negara ini bankrap.

Statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini menunjukkan hanya 1,770 kes bankrap akibat gagal membayar hutang kad kredit daripada keseluruhan 18,457 kes kebankrapan direkodkan pada 2015.

Statistik itu juga menyebut bagi tempoh 2011-2015, dari segi kebanyakan kes khususnya pada 2014 dan 2015, isu kebankrapan paling tinggi disebabkan pinjaman peribadi diikuti isu sewa beli kenderaan.