KUALA LUMPUR: Seramai 1,364 pesakit yang diberikan rawatan ubat antiviral Paxlovid setakat 5 Jun lalu telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19, dan tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, rawatan tersebut yang dimulakan di fasilti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 15 April lalu terbukti selamat dan berkesan, serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit COVID-19.

"Justeru bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan menggunakan ubat Paxlovid ini akan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam waktu yang terdekat.

"Untuk makluman, pemberian ubat Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma.

"Walau bagaimanapun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan sempadan dibuka, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbiditi, termasuk mereka yang belum menerima vaksinasi, mesti diberikan perlindungan yang terbaik.

Ini katanya, bagi memastikan kumpulan tersebut terhindar daripada mendapat kesan jangkitan COVID-19 yang teruk.

Paxlovid merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori 2 dan 3.

Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.