Sebanyak 1,413 pesalah muda yang terlibat dalam pelbagai jenis jenayah menjalani perintah khidmat masyarakat sejak program itu mula dilaksanakan pada tahun 2008 sehingga pertengahan tahun ini.

Pengarah Perintah Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Che Samsuzuki Che Noh berkata 1,283 orang daripada jumlah itu menunjukkan perubahan positif.

Beliau berkata perintah khidmat masyarakat mampu mengubah mereka yang terlibat dengan jenayah menjadi baik serta tidak mengulangi kesalahan lampau.

"Perintah khidmat masyarakat bukanlah suatu bentuk hukuman seperti penjara tetapi ia lebih kepada bentuk alternatif untuk memberi kesedaran kepada pesalah muda.

"Ia lebih kepada mengambil masa lapang pesalah muda dan memberikan suatu tanggungjawab ke atas mereka dan menjadikan khidmat masyarakat suatu pengalaman berfaedah kepada mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri Program 'Dalam Radar' Bernama Radio di sini, Jumaat malam.

Che Samsuzuki berkata, antara aktiviti khidmat masyarakat yang dijalankan pesalah-pesalah ini adalah membersihkan kawasan dan membantu penghuni institusi kebajikan masyarakat dan badan bukan kerajaan.

Katanya hukuman seperti ini mewujudkan ruang bagi pesalah muda membuat pemulihan akhlak sekaligus memberi faedah kepada masyarakat.

"Hukuman berkenaan mampu membantu pesalah muda mendisiplinkan diri, membentuk sahsiah dan jati diri. JKM turut memberi mereka peluang menjalani kursus-kursus kemahiran bagi mencungkil bakat mereka dalam bidang kemahiran dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara," katanya.

Che Samsuzuki berkata kemahiran yang diperoleh mereka mampu memberi peluang kerjaya selepas menjalani khidmat masyarakat.

Perintah khidmat masyarakat dikenakan kepada pesalah muda yang melakukan jenayah dengan melaksanakan khidmat masyarakat tidak melebihi jumlah agregat 240 jam pada masa dan tempat yang ditentukan oleh mahkamah dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang dikenakan oleh Mahkamah berdasarkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah.

Perintah khidmat masyarakat ini hanya dikenakan kepada pesalah jenayah muda yang berumur 18 hingga 21 tahun.