KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 10,000 orang awam di Samarahan telah berdaftar bagi menyertai program imunisasi COVID-19 fasa kedua dan ketiga yang dijangka dilaksanakan bermula hujung Mac hingga Mei 2021.

Bagaimanapun menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr Nur Fatihah Oh Abdullah, angka itu dilihat masih kurang berbanding sasaran pihaknya iaitu 120,000 orang.

"Populasi di Bahagian Samarahan ialah 180,000 orang, jadi kita mensasarkan 120,000 untuk fasa kedua dan ketiga termasuk warga emas yang dianggarkan berjumlah 25,000 orang.

"Melihat kepada statistik awal, angka 10,000 yang telah mendaftar itu terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 hingga 59 tahun dan saya menyarankan masyarakat di Samarahan untuk terus menyokong serta menyertai program imunisasi COVID-19 untuk fasa kedua dan ketiga ini,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Kota Samarahan pada Jumaat.

BACA: 130 'frontliners' termasuk pengamal media terima vaksin di KK Kota Samarahan hari ini

Tambah Dr Nur Fatihah, pendaftaran boleh dilakukan secara manual di pejabat daerah, pejabat residen atau klinik kesihatan berhampiran selain menerusi aplikasi MySejahtera.

Beliau tidak menolak kemungkinan segelintir masyarakat masih berada dalam dilema untuk menerima suntikan vaksin susulan penyebaran berita palsu mengenai kesan sampingan.



“Ini yang mungkin mengakibatkan mereka tidak mendaftar untuk menyertai program imunisasi, kalau nak katakan kurang kesedaran, masyarakat sedar bahawa vaksin itu sudah ada.

“Ia percuma kepada semua, jadi ambillah vaksin ini kerana tanpa pengambilan vaksin ia lebih berisiko,” jelas Fatihah.

Walaupun tidak wajib, pengambilan vaksin katanya amat digalakkan demi kesejahteraan bersama.

Untuk rekod, sebanyak 23,400 vaksin telah tiba di Sarawak bagi fasa pertama yang diagihkan kepada 55 pusat vaksinasi di seluruh negeri.