PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 10 agenda utama hasil Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, sekali gus memastikan idea dan resolusi dapat diterjemahkan kepada dasar serta tindakan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata penganjuran Putrajaya FOI 2026 kali ini membawa pendekatan tiga fasa, iaitu Explore, Challenge dan Translate.
“Resolusi utama akan dihimpunkan dalam Risalah Idea Malaysia, merangkumi sekurang-kurangnya 10 agenda utama untuk diangkat kepada pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Putrajaya FOI 2026 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Putrajaya FOI 2026 kembali untuk edisi ketiga dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”.
Zambry berkata Malaysia perlu berani menjadi pencipta serta peneroka teknologi masa hadapan dan bukan sekadar menjadi pengguna semata-mata, namun kemajuan itu wajib berpaksikan nilai kemanusiaan supaya tidak mengundang krisis peradaban.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata gagasan itu diterjemahkan menerusi penganjuran Putrajaya FOI 2026 yang menjadi medan strategik mempertemukan dunia akademik, industri, pembuat dasar dan masyarakat.
“Menggagas teknologi bermakna kita mesti menjadi pencipta dan peneroka, bukan sekadar pengguna. Daripada kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum hingga tenaga hijau dan keselamatan siber, Malaysia perlu berani menguasai teknologi masa hadapan.
“Namun, teknologi tanpa panduan nilai boleh mengundang krisis kemanusiaan. Biarlah kita menggapai kemajuan setinggi langit tetapi nilai kemanusiaan tetap mengakar kukuh di bumi,” katanya
Zambry berkata universiti perlu terus diperkasakan sebagai pusat pemikiran negara dengan meruntuhkan tembok pemisah antara semua pihak agar hasil penyelidikan tidak terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada inovasi dan penyelesaian nyata.
Penganjuran Putrajaya FOI 2026 selama tiga hari menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, termasuk 16 sesi perbincangan yang menghimpunkan 72 tokoh, panelis serta pembentang tempatan dan antarabangsa.
Festival kali ini turut menerima kehadiran delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.
-- BERNAMA