Ada di antara 10 janji 100 hari Pakatan Harapan, seperti yang tergaris dalam manifesto mereka, mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan.
Demikian tegas Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Ulung Datuk Sr Shamsul Amri Baharuddin yang berkata, ia memerlukan proses berperingkat dan kompleks untuk dilaksanakan.
Tegasnya lagi, ia perlu mengambil kira soal perundangan, pindaan atau kewujudan akta baharu, serta melalui pelbagai kajian dan tapisan.

“Kita tahu sebagai penyelidik, untuk mengubah sesuatu itu tidak boleh 24 jam, malah mungkin tidak pun sempat 100 hari, mungkin memerlukan 1,000 hari.

"Ia memerlukan perubahan peraturan, pengenalan akta yang baru dan juga pendebatan di parlimen,” katanya pada sidang media di Balai Ilmuwan MPN di sini, hari ini.

Menurut manifesto Pakatan Harapan yang baru dilancarkan itu, sepuluh janji berkenaan termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST); menstabilkan harga minyak dan menghapuskan subsidi bersasar; menghapuskan hutang tidak wajar peneroka FELDA; skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah serta meningkatkan gaji minimum.

Selain itu, ia turut menggariskan penangguhan bayaran balik PTPTN; Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 1MDB, MARA, FELDA dan Tabung Haji; menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk Perjanijan Malaysia 1963; Skim Peduli Sihat; dan melancarkan kajian terperinci untuk projek mega yang dikelola syarikat bukan Malaysia.

BACA: 100 hari pertama tadbir negara, PH tawar caruman KWSP untuk suri rumah

BACA: Manifesto PH populis tetapi strategik - Penganalisis


Selain itu, Dr Shamsul Amri, yang juga pengerusi MPNPOLL berkata, manifesto itu dilihat tidak begitu meletakkan pembangunan negara sebagai agenda utama dalam usaha mendirikan kerajaan alternatif.

Sebaliknya, katanya lagi, ia lebih menumpukan beberapa perkara terpilih, yang mana 70 peratus daripada janji itu telah, dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa falsafah manifesto Pakatan Harapan, yang bertemakan “Membina Negara, Memenuhi Harapan” itu, lebih memperlihatkan keutamaan kepada kepentingan individu melebihi kepentingan nasional.

“Sebab kita kena ingat, dasar yang baik kepada individu atau sektor tertentu sahaja, tidak semestinya baik untuk pembangunan negara,” katanya lagi.