SUBANG JAYA: Sepuluh pengunjung cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya, di sini, pada Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika 22 pengunjung menaiki roller coaster tersebut.
Katanya, mereka terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara berusia di antara 11 dan 44 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati seramai 22 pengguna roller coaster sedang bermain permainan terbabit sebelum kemalangan berlaku, mengakibatkan 10 mangsa mengalami kecederaan.
"Mangsa yang cedera dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Wan Azlan berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.45 pagi, Ahad.
"Siasatan sedang dijalankan pihak polis berkaitan kemalangan yang berlaku.
"Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Sementara itu, menerusi komen di media sosial, seorang pengguna mendakwa suami dan empat anaknya antara individu yang berada dalam roller coaster berkenaan ketika kejadian.
"Husband (suami) dan anak-anak saya enam orang dalam coaster tu," komen pengguna yang menggunakan nama Nurul_Aizam.
Seorang lagi pengguna, n0tfatin3ykin, mendakwa permainan terbabit bergerak laju sebelum berhenti secara mengejut ketika menuruni laluan.
Pengguna berkenaan turut mendakwa terdengar bunyi seperti besi patah sebelum roller coaster itu berhenti, namun dakwaan tersebut belum disahkan pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100.