Skip to main content

Malaysia

10 syor utama RCI Tabung Haji yang anda perlu tahu

81636086717_TabungHaji.jpg
Antara syor utama RCI Tabung Haji ialah melarang ahli politik aktif dalam Lembaga TH, melaksanakan audit forensik pelaburan bermasalah, dan menghentikan bonus berlebihan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengemukakan puluhan syor pembaharuan meliputi aspek tadbir urus, pengurusan dana, subsidi haji, pelaburan dan kawal selia institusi itu. 

Berikut 10 cadangan utama yang terkandung dalam laporan berkenaan.

1. Larang ahli politik aktif sertai Lembaga TH

RCI mengesyorkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi melarang ahli politik aktif dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH dan anak syarikatnya.

2. Pecahkan kuasa antara Menteri Agama dan Menteri Kewangan

Urusan haji dicadang kekal di bawah Menteri Hal Ehwal Agama manakala pengurusan dana, pelaburan serta kewangan TH diselia Menteri Kewangan.

3. Tubuh badan bebas untuk pelantikan Lembaga

RCI mahu sebuah jawatankuasa atau badan penasihat bebas ditubuhkan bagi mencadangkan pelantikan anggota Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.

4. Audit forensik ke atas pelaburan bermasalah

Suruhanjaya mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa pelaburan yang mengalami kerugian dan susut nilai besar termasuk FGV, TH Indo Plantations, TH Properties dan Putrajaya Perdana.

5. Hentikan pemberian bonus berlebihan

RCI menegur amalan pemberian bonus yang tinggi kepada kakitangan TH dan mengesyorkan ia dihentikan. Suruhanjaya turut mencadangkan bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties yang tidak mematuhi peraturan dituntut semula.

6. Hibah mesti berdasarkan penyata kewangan diaudit

RCI mahu agihan keuntungan atau hibah dibuat berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit dan bukan menggunakan kaedah Realisable Asset Value (RAV).

7. Subsidi haji diberikan secara bersasar

RCI mencadangkan bantuan kewangan haji hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bagi memastikan model subsidi haji kekal mampan pada masa hadapan.

8. Deposit minimum daftar haji dinaikkan

Deposit minimum bagi melayakkan seseorang mendapat giliran haji pertama dicadang dinaikkan daripada RM1,300 kepada kos haji semasa.

9. Hadkan penglibatan pengurusan dalam anak syarikat

RCI berpandangan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi TH perlu dihadkan daripada memegang terlalu banyak jawatan dalam anak syarikat bagi mengelakkan konflik kepentingan.

10. Elak campur tangan politik dalam pelaburan

Suruhanjaya menegaskan fungsi pengurusan dana dan pelaburan TH perlu dilaksanakan secara profesional, bebas dan berteraskan prinsip tadbir urus yang baik tanpa campur tangan politik.

 

 

Must Watch Video

Advertisement