KAPIT: Seratus peratus penduduk di Long Busang dan Sang Anau, Bukit Mabong telah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19.

Ia melibatkan 676 penduduk yang layak divaksin menerusi pelaksanaan Program Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan (CMVT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pedalaman Kapit bermula 22 hingga 25 Julai lalu.

Selain itu, 151 penduduk yang layak divaksinasi di Long Unai, Bukit Mabong juga telah menerima suntikan dos pertama.

CMVT ini dijayakan dengan penglibatan empat pegawai perubatan dan 16 paramedik menempuh perjalanan hampir lapan jam dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari pekan Kapit ke Long Busang.

Mereka kemudiannya menaiki bot selama empat jam membawa semua kelengkapan vaksinasi ke Sang Anau.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan CMVT ATM diatur gerak bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan pedalaman Sarawak.

Program yang bermula 21 Jun lalu, CMVT ATM telah berjaya memberikan 6,801 dos vaksin melibatkan 3,659 dos pertama dan 3,142 dos kedua.