KOTA BHARU: Pengalaman hidup dalam ketakutan, diseksa dan dipaksa bekerja membina kubu tentera Jepun menjadi antara kenangan yang masih segar dalam ingatan Mukhtar Mamat, 104, yang lebih mesra disapa Poktar.
Menceritakan pengalaman getirnya itu, Poktar yang menetap di Kampung Teras berkata kehidupan sebelum negara mencapai kemerdekaan sangat sukar, apabila masyarakat berdepan kekurangan pekerjaan dan makanan.
Lebih tujuh dekad selepas negara mencapai kemerdekaan, kesusahan hidupnya masih segar dalam ingatan warga emas itu, kerana rakyat bukan sahaja berhadapan kekurangan makanan, malah terpaksa melakukan pekerjaan yang diarahkan pihak Jepun.
“Pucuk kayu turut dijadikan makanan, berjalan kaki puluhan kilometer untuk ke sesuatu tempat merupakan perkara biasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026).
Mengimbau pengalaman ketika berusia 18 tahun, Poktar berkata beliau dipaksa tentera Jepun bekerja membina kubu di Pengkalan Chepa tiga hari seminggu, dari 8.30 pagi hingga 4 petang dengan upah RM1.50 sehari.
“Ramai dipaksa bekerja dengan mereka dan kami hidup dalam ketakutan. Kalau tersilap cakap, kami akan dipukul. Saya pernah dipukul dengan batang cangkul hingga lengan kiri luka dan disepak di belakang hingga terjatuh,” katanya.
Bapa kepada lima anak itu berkata tidak tahan dengan layanan kasar tentera Jepun, menyebabkan beliau hanya mampu bertahan kira-kira setahun sebelum melarikan diri pulang ke rumah keluarganya di Padang Pak Amat, Pasir Puteh.
Beliau berkata tentera Jepun kemudian mencarinya di rumah sehingga beliau terpaksa bersembunyi di dalam hutan, selain mengalami kecederaan di dada akibat terkena dawai pagar ketika melarikan diri.
“Parut itu masih ada sampai sekarang. Ketika itu, orang Melayu boleh dipukul, disepak atau ditembak jika melakukan kesalahan atau tidak mengikut arahan,” katanya.
Beliau berkata segala keperitan itu berubah, selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957 apabila beliau berpeluang bersama-sama orang ramai menyambut detik bersejarah berkenaan di Kota Bharu.
“Saya sempat bersama-sama orang ramai menyambut kemerdekaan, ketika Tunku Abdul Rahman datang ke Kota Bharu. Kami berkumpul di Padang Bank dan ketika itu semua orang sangat gembira kerana negara sudah bebas,” katanya.
Poktar berkata suasana ketika kalimah keramat “Merdeka” dilaungkan sukar dilupakan, kerana perasaannya bercampur baur antara gembira dan sebak selepas melalui pengalaman hidup di bawah pendudukan Jepun.
Beliau berkata pengalaman melalui zaman penuh kesusahan, membuatkan beliau amat menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini.
Beliau yang pernah muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Keruh di Muara berkata kehidupan rakyat hari ini jauh lebih baik berbanding dahulu dan keamanan negara perlu dihargai, terutama oleh generasi muda.
-- BERNAMA