Skip to main content

Malaysia

1,076 kes Cerebral Palsy didaftar sejak 2016, terima intervensi awal - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa berdasarkan rekod, dianggarkan 50 peratus daripada pesakit CP berkenaan mempunyai fungsi kognitif yang normal, manakala selebihnya mengalami pelbagai tahap gangguan kognitif. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,076 kes Cerebral Palsy (CP) telah didaftarkan dan menerima intervensi awal di klinik-klinik kesihatan di seluruh negara sejak tahun 2016.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa berdasarkan rekod, dianggarkan 50 peratus daripada pesakit CP berkenaan mempunyai fungsi kognitif yang normal, manakala selebihnya mengalami pelbagai tahap gangguan kognitif.

"KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif bagi kanak-kanak ini melalui saringan pengesanan awal, rawatan rehabilitasi, sokongan kepada keluarga dan penjaga, serta kerjasama rentas agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Inisiatif yang dilaksanakan merangkumi saringan perkembangan berkala, pendidikan kesihatan, latihan penjagaan di rumah serta akses kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)," katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Kuching-PH) berhubung senarai semua inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada anak-anak yang mengalami CP di Malaysia dan perancangan untuk memberikan bantuan dan sokongan lebih kepada mereka dan keluarga.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, KKM turut menyediakan sokongan pengurusan intermittent catheterization (pemasangan tiub kencing) di sekolah bagi memudahkan urusan pesakit mengikut keperluan masing-masing.

Mengenai aspek bantuan kewangan, katanya bantuan khusus secara langsung adalah di bawah bidang kuasa agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, KKM tetap membantu melalui penyediaan alat bantuan dan peralatan rehabilitasi berdasarkan penilaian klinikal dan kelayakan pesakit.

Bantuan tersebut disalurkan menerusi dua saluran utama iaitu Tabung Bantuan Perubatan di semua hospital kerajaan dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) yang dikendalikan oleh Bahagian Perkhidmatan Sosial Perubatan serta Majlis Kanser Nasional.

Bagi pesakit yang tidak memenuhi kriteria bantuan berkenaan, KKM menyediakan khidmat kaunseling dan preskripsi peralatan bagi memudahkan mereka mendapatkan akses bantuan daripada pihak NGO dan agensi berkaitan.

Must Watch Video

Advertisement