KUALA TERENGGANU: Seramai 11,975 individu telah diperiksa sepanjang lima hari Operasi Had 2 Jam (OP Had2j) dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 25 Mei lalu, sebelum ia ditangguhkan pada 29 Mei.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kesemua individu itu diperiksa dalam Op yang dijalankan di 1,257 premis perniagaan seluruh negara.

Katanya menerusi pemeriksaan berkenaan, pihaknya mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah sangat baik.

“Ada pegawai kita turun ke Sunway mengatakan rata-rata mereka ini kurang dari dua jam, cuma ada  dua, tiga orang yang lebih empat minit sahaja. Jadi saya nampak rakyat faham dan memahami,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kompaun dikeluarkan pihak penguatkuasa sejak operasi tersebut bermula pada 25 hingga 29 Mei yang lalu.

Jelasnya ia menunjukkan masyarakat memahami matlamat kerajaan melaksanakan Op berkenaan yang bertujuan memerangi penularan wabak COVID-19.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, Op Had2j itu kini ditangguhkan bermula 29 Mei ekoran pelaksanaan 'total lockdown' bermula Selasa yang turut membabitkan penutupan sebahagian besar sektor ekonomi termasuk pusat membeli belah.

Katanya, hanya premis, pasar raya dan pasar raya besar yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, pasar mini dan restoran untuk belian bungkus dan penghantaran ke rumah akan dibenarkan beroperasi.